BEIJING: China mengesahkan bahawa Presiden Xi Jinping akan mengadakan sidang kemuncak tiga hala pertama bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden Rusia, Vladimir Putin, di Shenzhen pada Khamis ini.
Kementerian Luar China dalam satu kenyataan ringkas pada Isnin memaklumkan, ketiga-tiga pemimpin itu akan mengadakan pertemuan khas sempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).
"Pada 19 November, Presiden China Xi Jinping akan mengadakan mesyuarat ketua-ketua negara China-Rusia-AS bersama Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden AS Donald Trump di Shenzhen," menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, Beijing tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai agenda pertemuan bersejarah tersebut yang akan berlangsung di bandar raya selatan China itu.
Pertemuan berkenaan dijangka berlangsung di sela-sela Sidang Kemuncak Pemimpin APEC yang diadakan pada Rabu dan Khamis.
Sebelum ini, Kremlin dan White House turut mengesahkan rancangan pertemuan tiga hala itu.
Menurut pegawai AS, Trump mahu membincangkan usaha mengurangkan jumlah senjata nuklear serta konflik Iran, namun isu perang Rusia di Ukraine tidak dijangka menjadi fokus utama dalam pertemuan tersebut.
Sementara itu, Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier berkata, Xi Jinping menunjukkan tanda-tanda kurang senang apabila cadangan supaya isu Ukraine dibincangkan dalam sidang kemuncak itu dibangkitkan semasa satu pertemuan baru-baru ini.
"Beliau secara jelas menegaskan bahawa ini adalah konflik Eropah dan pihak Eropah juga perlu berada di meja rundingan," kata Steinmeier kepada penyiar ARD.
Dalam isu pelucutan senjata nuklear pula, China sejak sekian lama menegaskan bahawa AS dan Rusia perlu terlebih dahulu mengurangkan simpanan senjata nuklear mereka yang jauh lebih besar sebelum Beijing bersetuju menyertai rundingan mengenai stok senjata nuklearnya sendiri.
Sidang kemuncak itu dilihat berpotensi menjadi antara pertemuan geopolitik paling penting tahun ini apabila tiga kuasa besar dunia berkumpul bagi membincangkan pelbagai isu keselamatan dan kestabilan global. - Agensi