KOTA KINABALU: Jelajah Jiwa SME Sabah kembali untuk tahun keempat, membuka ruang kepada usahawan negeri itu mengembangkan perniagaan berasaskan hasil pertanian, perikanan dan makanan tempatan melalui penghasilan produk bernilai tambah serta pembinaan jenama berdaya saing.
Pembantu Menteri I Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI), Datuk Ruslan Muharam berkata, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memainkan peranan penting dalam mewujudkan pekerjaan, meningkatkan pendapatan keluarga serta menggerakkan ekonomi, termasuk di pekan kecil dan kawasan luar bandar.
Menurutnya, usahawan perlu dibantu sepanjang rantaian nilai, daripada peningkatan kemahiran dan kualiti produk hingga penggunaan teknologi, penjenamaan, akses pembiayaan serta pasaran.
“Sabah mempunyai sumber semula jadi, hasil pertanian dan perikanan yang pelbagai serta produk tempatan yang mempunyai identiti tersendiri.
“Potensi ini perlu diterjemahkan kepada hasil ekonomi yang lebih kukuh dan mampan untuk para pengusaha serta komuniti setempat,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan.
Tambahnya, produk tempatan juga perlu konsisten, selamat, mempunyai pembungkusan yang menarik dan menepati kehendak pasaran, selain memanfaatkan platform digital untuk menjangkau pelanggan di seluruh negara.
Program dua hari bertemakan “Agromakanan dan Kelestarian” yang berlangsung pada 15 dan 16 Ogos di Suria Sabah Shopping Mall itu turut dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET), Moira David; Naib Presiden Unifi Business, Dr Mohamad Yusman Ammeran serta; Pengarah dan Ketua Pengarang Astro AWANI, Zaiful Mohd Ariffin.
Dalam pada itu, Zaiful berkata, Malaysia mempunyai lebih 1.08 juta PMKS yang menyumbang hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta menyediakan pekerjaan kepada lebih lapan juta rakyat.
Sumbangan sektor itu disasarkan meningkat kepada 50 peratus daripada KDNK menjelang 2030, sekali gus menuntut lebih banyak perniagaan kecil dibantu untuk berkembang.
“Jiwa SME bukan sekadar roadshow. Ia adalah jambatan. Jambatan antara usahawan dengan peluang. Produk dengan pasaran. Idea dengan teknologi. Dan perniagaan kecil dengan impian yang lebih besar,” katanya.
Mengulas potensi Sabah, Zaiful berkata, kekuatan sumber semula jadi dan semangat keusahawanan negeri itu menyediakan asas kukuh untuk pertumbuhan yang lebih besar.
“Kita tidak mahu hanya menjual hasil Sabah. Kita mahu membina jenama Sabah. Daripada hasil kepada produk. Daripada produk kepada jenama. Daripada jenama kepada pasaran. Dan dari Sabah kepada dunia,” tambahnya.
Sokongan Unifi Business selaku penaja utama juga membolehkan usahawan mendapat pendedahan kepada penyelesaian digital bagi meningkatkan kecekapan operasi, jualan dan capaian pelanggan.
Sepanjang program, peserta berpeluang menyertai sesi podcast, Sudut Solusi SME, Pentas Jual serta sesi jaringan bersama agensi kerajaan dan rakan industri.
Pentas CIPTA pula disediakan khusus untuk pelajar universiti membentangkan inovasi, produk dan penyelesaian kreatif mereka.
Usahawan turut ditawarkan peluang eksklusif menyertai bengkel perniagaan secara langsung bersama wakil TikTok Shop.
Sabah merupakan destinasi kedua Jelajah Jiwa SME 2026 selepas Kuala Lumpur, sebelum jelajah itu diteruskan ke Terengganu, Selangor dan Kedah.