Skip to main content

Malaysia

Penyumberan luaran ke hospital swasta solusi pragmatik, bukan penyelesaian jangka panjang - Dzulkefly

Menurut Dzulkefly, KKM memanfaatkan penyumberan luaran bagi menampung tuntutan semasa, sambil merangka penggubalan Akta Dana Kesihatan Nasional (DKN) yang disasarkan menjelang tahun 2029 demi kemampanan jangka panjang sistem kesihatan negara. - Gambar fail/Bernama
Menurut Dzulkefly, KKM memanfaatkan penyumberan luaran bagi menampung tuntutan semasa, sambil merangka penggubalan Akta Dana Kesihatan Nasional (DKN) yang disasarkan menjelang tahun 2029 demi kemampanan jangka panjang sistem kesihatan negara. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertahankan langkah penyumberan luaran ke hospital swasta sebagai satu keperluan mendesak bagi menangani tekanan semasa di fasiliti kesihatan awam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pendekatan tersebut diambil secara pragmatik bagi meredakan bebanan hospital serta kesesakan pesakit sementara kerajaan giat membina kerangka penyelesaian jangka panjang.

"Rintangan yang saya hadapi setiap hari, yakni hospital yang terbeban, masa menunggu panjang bagi prosedur elektif, kesemua itu menuntut saya untuk menyelesaikan masalah ini dengan pendekatan jangka pendek, berbanding apa yang saya mahu bina sebagai satu langkah jangka panjang iaitu Dana Kesihatan Nasional.

Advertisement

"Sebab itu kita meletakkan penyumberan luaran itu penting… kerana kalau kita lihat permasalahan masa menunggu ini, apa pun prosedur sama ada kardiologi, nefrologi dan sebagainya, kaedah penyumberan luaran ke hospital swasta ini dapat membantu mengurangkan masa menunggu lama," jelasnya di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi yang meminta penjelasan KKM berhubung langkah penyumberan luaran ke hospital swasta dan skim MediAsas yang dianggap sekadar kawalan kos jangka pendek, bukannya penyelesaian struktur kepada kekangan bajet kementerian.

Advertisement

Tambah Dzulkefly, pelaksanaan 14 inisiatif di bawah Hospital Services Outsourcing Program (HSOP) terbukti memberikan impak positif dan kelegaan segera kepada rakyat.

Beliau turut menekankan pembinaan prasarana kritikal kesihatan seperti pusat kardiotorasik mustahil dapat disiapkan dalam tempoh yang singkat.

Justeru, KKM mengambil pendekatan serampang dua mata dengan memanfaatkan penyumberan luaran bagi menampung tuntutan semasa, sambil merangka penggubalan Akta Dana Kesihatan Nasional (DKN) yang disasarkan menjelang tahun 2029 demi kemampanan jangka panjang sistem kesihatan negara.

DKN merupakan pembiayaan daripada pelbagai sumber yang bukan hanya bergantung kepada peruntukan belanjawaan kerajaan atau caruman pekerja semata-mata bagi membiayai perkhidmatan kesihatan untuk seluruh rakyat.

Jelas Dzulkefly, DKN menggabungkan kekuatan dua sistem utama dunia, iaitu model Beveridge yang berpaksikan cukai kerajaan seperti di United Kingdom, serta model Bismarck yang berasaskan caruman insurans sosial pekerja dan majikan seperti di Jerman. 

Penggabungan kedua-dua elemen tersebut membolehkan negara mengekalkan jaminan liputan kesihatan menyeluruh melalui cukai am, di samping menguruskan Dana Kesihatan Khusus secara berasingan.

Must Watch Video

Advertisement