Skip to main content

Politik

Selepas menang besar di Melaka, BN tidak mahu tergesa-gesa adakan PRN negeri lain - Zahid Hamidi

Barisan Nasional (BN) tidak mahu tergesa-gesa mengadakan pilihan raya di negeri-negeri lain meskipun mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, minggu lalu, kata Ahmad Zahid. - Gambar Astro AWANI
Barisan Nasional (BN) tidak mahu tergesa-gesa mengadakan pilihan raya di negeri-negeri lain meskipun mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, minggu lalu, kata Ahmad Zahid. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

BAGAN DATUK: Barisan Nasional (BN) tidak mahu tergesa-gesa mengadakan pilihan raya di negeri-negeri lain meskipun mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, minggu lalu, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi BN itu, bagaimanapun berkata, pihaknya menyerahkan perkara tersebut kepada Menteri Besar atau Ketua Menteri untuk membuat penilaian.

"Kita baru saja selesai (PRN) Melaka. Jadi kita tidak mahu tergesa-gesa untuk mengadakan pilihan raya di negeri-negeri lain. 

Advertisement

"Saya serahkan kepada Ketua Menteri ataupun Menteri Besar di negeri masing-masing untuk melihat bagaimanakah situasinya dan mempersembahkan kepada Tuanku dan memberikan nasihat kepada Tuanku-Tuanku serta Tuan-Tuan Yang Terutama Negeri, Yang di-Pertua Negeri jika ianya bersesuaian. Tetapi biarlah kita selesaikan satu persatu dahulu," kata Timbalan Perdana Menteri itu.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN 3.0) Siri 4/2026 di Kompleks Sukan Bagan Datuk, di sini, pada Isnin.

Advertisement

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan seorang bekas pemimpin UMNO agar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang dan Perak wajar dibubarkan bagi membuka laluan kepada pembentukan kerajaan BN-Perikatan Nasional (PN) di kedua-dua negeri itu.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata, cadangan itu susulan kejayaan formula kerjasama BN-PN yang menyaksikan kedua-dua gabungan berkenaan mencatat kemenangan besar pada PRN Melaka.

Keputusan PRN Melaka pada Sabtu, menyaksikan gabungan BN memperolehi 21 kerusi manakala PN (3) dan PH (4).

 

Must Watch Video

Advertisement