KUALA LUMPUR: Serba Dinamik Holdings Bhd, yang harga sahamnya jatuh ke paras 46.5 sen pagi ini, mengulangi pendirian bahawa bekas juruaudit luarnya KPMG PLT sebenarnya telah melakukan pelanggaran kontrak.

Malah, syarikat itu menegaskan KPMG seharusnya menyampaikan keraguan profesionalnya kepada pelanggan dan bukan melaporkannya terlebih dahulu kepada pengawal selia.

Sebagai reaksi kepada kenyataan media yang dikeluarkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia, firma minyak dan gas itu turut menyatakan bahawa KPMG telah mengeluarkan teguran mengenai isu audit kumpulan dengan cara yang tidak wajar.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua institusi (SC dan Bursa Malaysia) kerana telah memaklumkan kami mengenai undang-undang berkaitan kewajipan juruaudit untuk membuat laporan kepada SC.

"Kami bagaimanapun mahu memberitahu bahawa juruaudit yang melaksanakan tugas berkenaan mempunyai tanggungjawab tertinggi ke atas pertimbangan profesional mereka, bahawa sebenarnya terdapat pelanggaran atau ketidakpatuhan undang-undang yang telah dikenal pasti, bukan sekadar kepercayaan munasabah dari pihak mereka.

"Dengan rasa terima kasih, kami juga menerima nasihat daripada kedua-dua institusi terhormat itu bahawa juruaudit boleh melaksanakan beberapa unsur skeptisisme profesional dalam audit mereka, tetapi keraguan semata-mata ini memerlukan komunikasi dengan pelanggan untuk menyelesaikan masalah tersebut, dan ini tidak cukup untuk juruaudit membuat laporan pra matang, sehingga merugikan syarikat dan pasaran.

"Kami berterima kasih kepada kedua-dua institusi itu kerana tidak mengambil kira fakta kes ini yang belum lagi diperincikan,” jelas syarikat itu dalam satu kenyataan malam tadi. 

Pada awal Jun lalu, SC mengumumkan bahawa pihaknya telah memulakan siasatan mengenai masalah tersebut.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan pengumuman bahawa KPMG telah berhenti sebagai juruaudit luar Serba Dinamik, dengan alasan tidak dapat melaksanakan tugasnya secara bebas.

Syarikat itu pada masa sama turut mendakwa tiada komunikasi rasmi yang berlaku antara Pengerusinya dengan SC mahupun Bursa Malaysia.

Pada Khamis, Serba Dinamik dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia menyatakan bahawa KPMG telah meletakkan jawatan sebagai juruaudit syarikat dengan serta-merta.

Notis peletakan jawatan itu telah diterima Serba Dinamik pada 23 Jun lalu.