Kejayaan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) memerlukan lima elemen proses utama termasuk keazaman politik dan proses perundingan serta komunikasi yang efektif, kata Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Elemen lain ialah pelaksana yang betul dan cara bagaimana cadangan dipersembahkan, kata Timbalan Ketua Pengarahnya Datuk Zainul Abidin Taib, yang memetik contoh kejayaan CBP di New Zealand.

"Dalam merangka CBP bagi Malaysia, lima elemen ini merupakan pertimbangan penting juga bagi pelaksanaan yang berjaya," katanya pada perasmian Ekspo dan Persidangan CBP 2014, di sini, Khamis.

Zainul Abidin berkata CBP menghapuskan ketidakcekapan dalam sistem cukai sekarang yang gagal membezakan antara kos barangan dijual dan elemen cukai dalam harga.

Beliau berkata kelemahan utama dalam sistem cukai sekarang sering membawa kepada peningkatan harga produk, tidak seperti CBP, di mana perniagaan tidak boleh menjadikan cukai ini sebagai sebahagian daripada kos mereka kerana sebarang CBP yang ditanggung dikreditkan terhadap cukai output (cukai yang dikenakan ke atas penjualan/pembekalan barang dan perkhidmatan).

"Walaupun cukai jualan dikenakan sama ada pada peringkat pembuatan atau di pintu masuk negara, ia sering mewujudkan piramid atau kesan penyatuan di mana peratusan menaikkan harga di saluran pengedaran sering terpakai kepada elemen cukai dan juga kos barangan dijual," katanya.

Beliau menggesa perniagaan agar tidak mengambil kesempatan daripada pengenalan CBP untuk menaikkan harga kerana mereka boleh ditangkap di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan yang akan dikuatkuasakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Zainul Abidin berkata dalam program kesedaran CBP dan capaian perdagangan, Kastam Diraja Malaysia giat meneruskan program latihan yang disediakan kepada industri khusus, dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang mendaftar CBP.

Para peserta diberikan penjelasan lanjut mengenai perkara seperti layanan khusus CBP bagi sektor perniagaan khusus, implikasi aliran tunai, kesan ke atas dasar penetapan harga dan sistem perakaunan, aliran kerja dan proses, dan keperluan dokumentasi terutamanya invois cukai dan pelaporan CBP, katanya.