KUALA LUMPUR: Kedudukan pelaburan kerajaan berjumlah RM35.15 bilion pada akhir 2022 berkurangan sebanyak RM8.24 bilion atau 19 peratus daripada RM43.39 billion pada 2021.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang dikeluarkan hari ini, sebanyak 68.7 peratus daripada pelaburan kerajaan adalah daripada dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) dan Kumpulan Wang Amanah Lain dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM24.15 bilion.

Manakala sejumlah RM11.00 bilion atau 31.3 peratus pula merupakan pelaburan daripada lebihan Akaun Hasil Disatukan.

Pada 2022, hasil Persekutuan pula berjumlah RM294.36 bilion, manakala perbelanjaan mengurus (sebelum pindahan ke Kumpulan Wang Pembangunan) berjumlah RM292.69 bilion.

Sementara itu, Akaun Hasil Disatukan mencatatkan lebihan hasil berjumlah RM1.66 bilion, iaitu berkurangan sebanyak RM0.572 bilion atau 25.6 peratus berbanding RM2.236 bilion pada 2021.

Menurut LKAN, keseluruhan amaun lebihan ini telah dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembangunan dan baki Akaun Hasil Disatukan kekal berjumlah RM11.863 bilion.

Pada akhir 2022, kedudukan pelaburan KWAN berjumlah RM14.47 bilion, iaitu 41.2 peratus daripada keseluruhan pelaburan kerajaan dan merekodkan peningkatan sejumlah RM0.583 bilion atau 4.2 peratus berbanding RM13.89 billion pada 2021.

"Peningkatan baki pelaburan antaranya disebabkan oleh terimaan dana daripada syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berjumlah RM500 juta serta terimaan faedah dan dividen yang dilaburkan semula," kata laporan LKAN.

Pada akhir 2022, kedudukan pelaburan Kumpulan Wang Amanah Lain berjumlah RM9.678 bilion, iaitu 27.5 peratus daripada keseluruhan pelaburan kerajaan, berkurangan sebanyak RM12.800 bilion atau 57 peratus berbanding RM22.475 bilion pada 2021.

"Sebahagian besar Pelaburan Kumpulan Wang Amanah Lain adalah dalam Deposit Jangka Pendek Dalam Negeri Melebihi Tiga Hingga 12 Bulan yang berjumlah RM9.54 bilion dan Deposit Jangka Panjang Dalam Negeri Melebihi 12 Bulan berjumlah RM0.14 bilion. Pelaburan ini diuruskan oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia," demikian menurut laporan audit itu.

Sementara itu, nilai buku pelaburan kerajaan berjumlah RM34.03 bilion, meningkat RM0.168 bilion atau 0.5 peratus berbanding RM33.86 bilion pada 2021.

Pada 2022, pegangan kepentingan kerajaan dalam syarikat Digital Nasional Bhd meningkat kepada 500 juta unit saham biasa bernilai RM1 seunit.

Pada masa yang sama, pegangan kepentingan kerajaan sebanyak 131 juta unit Saham Keutamaan Kumulatif Boleh Tebus dalam syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd telah dibuat penebusan.

Kerajaan juga mempunyai pegangan kepentingan dalam tiga syarikat yang masih dalam proses penggulungan, iaitu Malaysia Batek and Handicraft Berhad sebanyak 300,001 unit saham biasa, Malaysian Airline System Bhd sebanyak satu unit saham keutamaan dan Medical Online Sdn. Bhd. sebanyak satu unit saham keutamaan.

Pada 2022, dividen pelaburan yang diterima daripada 16 syarikat dan dua badan berkanun berjumlah RM55.815 bilion meningkat RM23.60 bilion atau 73.3 peratus daripada RM32.21 bilion pada 2021.

"Peningkatan ketara melibatkan terimaan dividen daripada Petronas sebanyak RM50 bilion berbanding RM25 bilion pada 2021. Selain itu, kerajaan juga menerima dividen daripada syarikat UDA Holdings Berhad, Malaysia Debt Ventures Bhd dan Malaysian Kuwaiti Investment Sdn Bhd sebanyak RM40.92 juta," kata LKAN,

Pengurangan terimaan dividen yang ketara adalah daripada syarikat Khazanah Nasional Bhd dan Pembinaan BLT Sdn. Bhd yang berkurangan masing-masing sebanyak RM2.500 bilion dan RM14 juta berbanding dividen RM3.026 bilion pada 2021.

"Tiada dividen diterima daripada syarikat Perbadanan Nasional Berhad, MyCreative Venture Sdn. Bhd. dan JKP Sdn. Bhd pada 2022 berbanding dividen RM5.24 juta pada 2021," demikian menurut laporan itu.

-- BERNAMA