Kejayaan Malaysia Airports Holdings Bhd menguruskan lapangan terbang mungkin meningkatkan peluangnya untuk memenangi bida untuk membeli Stansted Airport, United Kingdom (UK) meskipun nilaian lapangan terbang itu tinggi.

OSK Research Sdn Bhd berkata media UK melaporkan bahawa MAHB merupakan calon terbaru yang menyertai bida untuk membeli Stansted Airport dengan harga kira-kira satu bilion pound (RM4.9 bilion).

Pembida-pembida lain ialah Manchester Airport Group (MAG), yang disokong oleh Pengurusan Dana Industri Australia; dan pelabur kewangan, TPG, Macquarie and HRL Morrison, katanya dalam satu nota penyelidikannya hari ini.

Stansted Airport terpaksa dijual oleh pemegang saham kumpulan lapangan terbang itu, BAA, setelah ia gagal dalam usahanya mendapatkan hak milik ke atas dua lapangan terbang, kerana BAA juga memiliki Heathrow Airport.

Sekiranya MAHB memenangi bida ini, kata OSK, kumpulan itu mungkin terpaksa menambah hutang kerana kedudukan tunai semasanya tidak mencukupi untuk membiayai pembelian itu.

Bagaimanapun, memandangkan kedudukan nisbah hutang berbanding modal bersihnya pada 54 peratus, ia masih boleh menambah dananya sekiranya perlu.

Sumber-sumber pembiayaan lain yang boleh dimanfaatkan oleh kumpulan itu ialah Skim Pelaburan Semula Dividennya, yang boleh menyediakan RM190-RM200 juta, dengan mengandaikan penggunaan sebanyak 90 peratus.

OSK mengekalkan nilaian patut sebanyak RM8 ke atas MAHB, dan mengekalkan saranan "beli"nya ke atas pengendali lapangan terbang itu. Sekarang ini, MAHB diniagakan pada RM5.44.

"Kami terus menggemari prospek KLIA2," tegas OSK Research.