KOTA BHARU: Kerajaan memperuntukkan RM2.5 juta bagi menyediakan kemudahan rawatan dialisis di beberapa masjid terpilih di Kelantan menerusi kerjasama dengan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan syarikat Radicare, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata inisiatif itu bertujuan memudahkan pesakit buah pinggang khususnya penduduk luar bandar yang terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan berkenaan.
Anwar berkata langkah menjadikan masjid sebagai pangkalan penyediaan kemudahan itu berupaya memperluas fungsi rumah ibadat berkenaan dan memastikan akses perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat setempat.
"Kita bekerjasama dengan Radicare untuk memudahkan kemudahan dialisis... sesetengah orang kampung jauh hendak dapat kemudahan dialisis... (jadi) kita gunakan masjid sebagai pangkalannya," kata beliau ketika berucap pada Program Sebarkan Salam@Kota Bharu Berselawat di pekarangan Masjid Muhammadi di sini malam ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dan Timbalannya, Marhamah Rosli serta Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Selain itu, Perdana Menteri berkata sebanyak RM645,000 diperuntukkan menerusi YWM bagi projek wakaf air dan pemasangan kemudahan solar di beberapa masjid terpilih di Kelantan yang berdepan masalah kemudahan asas terbabit.
Beliau berkata usaha itu adalah antara pendekatan kerajaan untuk memastikan masjid mempunyai prasarana lebih baik sekali gus memberikan keselesaan kepada jemaah dan masyarakat setempat
Anwar juga berkata inisiatif itu membuktikan peranan penting institusi wakaf dalam memperkasakan kemudahan awam di rumah ibadat sekali gus menegaskan komitmen kerajaan untuk terus menyokong usaha yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan turut meluluskan dana khas sebanyak RM500,000 bagi membiayai kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih kemudahan di Sekolah Menengah Ugama Darul Ulum Al-Muhammadiyyah, Padang Kolam di sini.
Katanya peruntukan bagi menaik taraf kemudahan sekolah termasuk asrama itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh institusi pendidikan Islam selain memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa untuk pelajar.
-- BERNAMA