KUALA LUMPUR: Lebih setahun menggalas tugas sebagai Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), legenda badminton negara Datuk Seri Lee Chong Wei mengakui tanggungjawab itu bukan mudah, terutama dalam membuat keputusan melibatkan pemain daripada generasi berbeza.
Chong Wei yang dilantik memegang jawatan berkenaan pada 18 Okt tahun lepas berkata perbezaan pemain masa kini dan zamannya menyebabkan usaha membawa perubahan bukan sesuatu yang mudah, malah menuntut beliau untuk terus belajar dan menyesuaikan diri dengan cabaran dihadapi.
Bekas pemain nombor satu dunia itu berkata beliau juga sering berbincang dengan Presiden BAM Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, bagi mendapatkan pandangan dan nasihat sebelum membuat sebarang keputusan penting.
“Bukan mudah sebab generasi (pemain badminton) kini tidak sama, saya banyak belajar daripada generasi baharu ini.
“Saya sentiasa berhubung dengan Tengku (untuk nasihat), kerana sebagai pengerusi jawatankuasa, ada kalanya tidak mudah untuk buat keputusan,” katanya dalam episod kedua Ngopi Dengan Zafrul kelolaan Tengku Zafrul di laman Youtube.
Bagaimanapun, pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu berkata beliau tidak gentar berdepan kritikan orang ramai dalam melaksanakan tanggungjawab, selagi yakin setiap keputusan sukar yang diambil adalah tepat demi kebaikan badminton negara.
“Orang ramai akan bising, saya terima kerana kalau kita hendak buat perkara yang betul atau baik, memang ramai tidak suka,” katanya.
Beliau berkata penglibatannya bersama BAM selepas menggantung raket pada 2019 juga didorong keinginan untuk membalas jasa badan induk itu yang banyak membantunya sepanjang hampir dua dekad bersama skuad kebangsaan.
Dalam pada itu, Chong Wei berkata disiplin merupakan antara elemen penting untuk seseorang pemain badminton mencapai kejayaan di peringkat tertinggi.
Beliau berkata tempoh kerjaya seseorang pemain adalah terhad dan mereka perlu sanggup berkorban demi meningkatkan prestasi, termasuk dari segi kecergasan serta kekuatan fizikal.
Ikon badminton dunia berusia 44 tahun itu turut mengingatkan pemain supaya tidak mensia-siakan peluang ketika masih aktif, selain mengambil serius nasihat diberikan oleh mereka yang lebih berpengalaman.
Mengenai sokongan terhadap pembangunan sukan negara, Chong Wei berkata penglibatan sektor swasta perlu dipertingkatkan kerana bantuan kerajaan sahaja mungkin tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan pelbagai sukan.
Beliau memberi contoh sokongan syarikat swasta di negara seperti Jepun, China dan Korea Selatan membantu perkembangan sukan, selain menjadi sumber penting bagi atlet dan pasukan mendapatkan penajaan.
-- BERNAMA