Ringkasan AI
- Kerajaan Persekutuan memperuntukkan hampir RM640 juta di bawah RMK13 untuk 19 projek bekalan air di Labuan, sembilan daripadanya telah siap.
- Peruntukan RM300,000 diumumkan untuk membina Pusat Aktiviti Warga Emas kekal, menggantikan premis sewaan sedia ada di Labuan.
- Bantuan pengangkutan sekolah diperkenalkan untuk 437 murid dari enam sekolah, hasil kerjasama pelbagai agensi dan pihak berkaitan.
LABUAN: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan hampir RM640 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi 19 projek bekalan air di Labuan dengan sembilan projek bernilai kira-kira RM133 juta telah siap dan diserahkan pada Januari tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata projek tersebut amat penting bagi meningkatkan kebolehpercayaan bekalan air di pulau itu, dengan hampir 90 peratus air dirawat datang dari Loji Rawatan Air Lawa Gadong di Sabah.
Beliau berkata gangguan air di loji itu memberi kesan langsung kepada penduduk Labuan, menjejaskan keperluan isi rumah dan operasi perniagaan, menyebabkan peruntukan tersebut mesti diterjemahkan kepada bekalan air lebih terjamin.
Hannah berkata demikian semasa merasmikan Program MADANI Kita (PMK) bersama dengan Komuniti Wilayah Persekutuan Labuan 2026 di Dewan Arena Kampung Bukit Kuda di sini hari ini sempena lawatan kerja sehari beliau ke Labuan.
Selain itu, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi membina Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) kekal di Labuan untuk menggantikan premis sedia ada yang disewa.
Beliau menggesa Jabatan Kebajikan Masyarakat, Perbadanan Labuan dan jawatankuasa rukun tetangga supaya memperkukuh kerjasama bagi menggalakkan warga emas menyertai aktiviti kemasyarakatan, terutamanya mereka yang tinggal bersendirian atau menghadapi kesukaran untuk keluar dari rumah.
Hannah berkata program jangkauan komuniti dan lawatan ke rumah adalah sama penting bagi memastikan warga emas yang memerlukan bantuan kekal terhubung dengan perkhidmatan kebajikan bersesuaian.
Beliau berkata Perbadanan Labuan telah memperkenalkan pengurangan sewa sebanyak 50 peratus pada tahun ini bagi peniaga kecil yang layak di Pasar Sentral dan beberapa premis perniagaan untuk meringankan kos operasi mereka.
Mengenai pendidikan, Hannah berkata bantuan pengangkutan sekolah telah diperkenalkan untuk 437 murid daripada enam sekolah berikutan kebimbangan yang dibangkitkan semasa lawatan beliau pada Ogos lepas.
Beliau berkata inisiatif itu melibatkan kerjasama antara Jabatan Pendidikan, Perbadanan Labuan, pihak sekolah, ibu bapa serta pengusaha bas tempatan dan menambah keberkesanannya perlu diukur melalui peningkatan kehadiran ke sekolah.
Mengenai Geopark Labuan, Hannah berkata kerajaan sedang menunggu keputusan penilaian semula untuk mengekalkan status Geopark Kebangsaan yang dianugerahkan pada 2021 dan berharap supaya pulau itu akhirnya memperoleh pengiktirafan UNESCO Global Geopark.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan kesiapsiagaan bencana, merujuk kepada latihan pengurusan risiko bencana yang dilaksanakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Perbadanan Labuan serta Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada April yang merangkumi simulasi tsunami dan gempa bumi.
Hannah juga mengingatkan jabatan dan agensi kerajaan bahawa penyampaian perkhidmatan awam mesti melangkaui sekadar mengumumkan peruntukan dan melaksanakan program, menekankan keperluan untuk menangani aduan penduduk serta memastikan tindakan susulan sewajarnya.
Beliau berkata program PMK yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan di bawah satu bumbung bertujuan menjadikan perkhidmatan dan bantuan awam lebih mudah diakses.
Beliau juga menekankan peranan organisasi komuniti termasuk jawatankuasa rukun tetangga dan organisasi bukan kerajaan dalam mengenal pasti keluarga rentan dan memperkukuh sokongan pada peringkat akar umbi.
-- BERNAMA