ANKARA: CEO JPMorgan Chase Jamie Dimon pada Isnin berkata kemelesetan ekonomi global dan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dijangkakan berlaku pada pertengahan 2023, lapor Anadolu.

Inflasi semakin meningkat di AS dan dunia, kadar faedah meningkat lebih daripada jangkaan dan konflik Rusia-Ukraine dianggap sebagai faktor "sangat serius" yang boleh menyebabkan kemelesetan, menurut ketua bank pelaburan multinasional dan syarikat perkhidmatan kewangan yang berpangkalan di AS itu.

"Ini sangat serius, saya jangka akan menolak AS dan dunia - Eropah sudah pun mengalami kemelesetan dan ini dijangka meletakkan AS dalam kemelesetan untuk tempoh enam ke sembilan bulan dari sekarang," kata Dimon kepada CNBC.

Rizab Persekutuan AS, antara kebanyakan bank-bank pusat utama di dunia telah menaikkan kadar-kadar faedah secara agresif untuk menangani inflasi yang kini membelenggu banyak negara pada tahap tertinggi dalam beberapa dekad.

Dimon berkata Fed "menunggu terlalu lama tapi tidak banyak yang dilakukan" menyebabkan inflasi di AS meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh lebih 40 tahun.

Walaupun Fed dan Pengerusinya Jerome Powell pada akhir 2021 berulang kali mengatakan bahawa inflasi bersifat "sementara", ahli-ahli Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) segera beralih daripada pendirian kadar faedah rendah kepada sikap agresif apabila konflik di Ukraine meningkatkan harga tenaga dan makanan serta tekanan inflasi.

Ketua Federal Reserve Bank of Chicago Charles Evans awal hari Isnin berkata Fed boleh menurunkan inflasi pada kadar "cepat" dan pada masa sama mengelak kemelesetan yang dipanggil pertumbuhan ekonomi perlahan.

Bagaimanapun, Dimon tidak pasti berapa lama AS akan melalui kemelesetan.

"Ia boleh berubah daripada ringan kepada agak berat dan banyak bergantung kepada apa yang berlaku dengan perang ini. Jadi, sukar untuk menjangkakannya, namun bersedialah," katanya.

-- BERNAMA