Kenyataan Petronas bahawa pemberian dividen dan hasil minyak kepada kerajaan tidak menjejaskan operasi adalah atas dasar terpaksa kerana hakikatnya ia memberi impak yang besar kepada syarikat tersebut.

Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berkata kesan daripada pemberian dividen tersebut menyaksikan Petronas menerima akibat apabila agensi penarafan antarabangsa Moody's mengekalkan penarafan Petronas pada A- tetapi mengubah pandangan hadapan syarikat itu daripada stabil kepada negatif.

Dalam responnya berhubung perkara itu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengingatkan orang ramai supaya meneliti semua pandangan agensi penarafan tentang Petronas untuk mendapatkan gambaran menyeluruh.

“Memang benar Moody’s mengubah pandangan jangka masa hadapan Petronas dari stabil ke negatif. Tetapi Fitch dan Standards & Poor menyatakan bahawa kedua-dua penarafan dan pandangan jangka masa hadapan untuk Petronas kekal, walaupun dikenakan dividen khas ini,” kata Guan Eng dalam wawancara The Breakfast Grille di stesyen radio BFM89.9.

Khairy bagaimanapun menumpukan komennya kepada penarafan khas yang dikeluarkan oleh Moody’s.

"Petronas kata tak akan jejas operasi, sudah tentu mereka terpaksa cakap kerana timbul ketidaktentuan penarafan Moody's daripada stabil ke negatif susulan tindakan tersebut," katanya ketika perbahasan Belanjawan 2019 pada Sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2019 menyaksikan sumbangan dividen Petronas sebanyak RM54 bilion kepada hasil negara.

Kata Khairy, jumlah tersebut adalah tertinggi sejak Petronas diwujudkan pada 1974.

Beliau mempersoalkan keputusan kerajaan yang mengambil dana yang terlalu tinggi daripada Petronas.

"Mungkin kerajaan beri alasan bahawa RM30 bilion dividen khas akan digunakan untuk membayar semula wang tuntutan cukai pendapatan atau GST yang tertanggung sebelum ini.

"Tetapi kalau kita rujuk balik kenyataan menteri ketika perbahasan pemansuhan GST yang lalu, kerajaan mempunyai masa enam tahun untuk menyelesaikan tuntutan."

Tambahnya, kebergantungan kerajaan kepada hasil Petronas dibuat berdasarkan andaian bahawa harga minyak dunia pada tahun hadapan akan naik pada sekitar AS$70 setiap tong juga membimbangkan.

Pandangan Khairy walau bagaimanapun disangkal Anggota Parlimen Damansara, Tony Pua.

“Pembayaran semula hutang GST kepada rakyat adalah sesuatu perkara yang kerajaan baru telah warisi. Ini adalah wang rakyat dan sepatutnya dipulangkan kepada rakyat dalam tempoh yang ditetapkan, iaitu dalam tahun 2017.

"Tetapi setelah mengambil alih kerajaan, kami sedar bahawa pentadbiran sebelum ini tidak mampu untuk memberikan justifikasi yang jelas tentang mengapa wang berbilion ringgit dalam bentuk pembayaran balik GST, tidak lagi ada di dalam akaun milik Kementerian Kewangan,” kata Tony Pua di dalam satu wawancara Pasca Belanjawan yang dianjurkan Kumpulan AmBank minggu lepas.

Tony menyatakan bahawa keadaan Petronas sekarang adalah stabil dan mampu membayar dividen khas ini, dan ia tidak akan menjejaskan kedudukan aliran tunai syarikat gergasi itu.

Namun begitu, Khairy mendakwa bahawa trend harga minyak kini adalah tidak memberangsangkan. Menurutnya, trend harga minyak akhir-akhir ini menunjukkan penurunan dan harga semasa ketika ini adalah di bawah paras AS$70.

"Perkara ini turut dinyatakan dengan jelas oleh agensi penarafan Fitch yang telah membuat unjuran bahawa harga minyak pada tahun 2019 akan terus jatuh pada AS$65 setiap tong.

"Disebabkan faktor ini, Fitch memberi amaran kemungkinan outlook Malaysia akan dinilai semula."

Khairy mengutarakan persoalan adakah kerajaan bersedia jika harga minyak tahun depan menyaksikan penurunan di bawah harga unjuran kerajaan AS$70.