Kerajaan kekalkan struktur SST, laksanakan penambahbaikan sistem percukaian - Lim

LIM: SST merupakan sistem percukaian yang lebih bersasar dan telah digunakan di Malaysia lebih 40 tahun yang lepas, serta merupakan satu sistem yang telah difahami oleh industri, peniaga dan rakyat. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk mengekalkan struktur Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada, sambil melaksanakan penambahbaikan bagi memastikan sistem percukaian yang lebih cekap dan berkesan, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.
Ringkasan AI
- Kerajaan memutuskan untuk mengekalkan struktur Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada serta membuat penambahbaikan bagi sistem percukaian yang lebih cekap dan berkesan.
- Langkah ini adalah untuk mengekalkan cukai penggunaan secara bersasar, dengan barang dan perkhidmatan asas yang lazimnya digunakan oleh rakyat tidak dikenakan cukai.
- Kerajaan menolak pelaksanaan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kerana pendapatan rakyat masih rendah untuk menanggung impak GST yang lebih meluas.
"Pelaksanaan SST juga dapat memberikan impak fiskal yang lebih pantas kepada kerajaan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk C. Sivaraj berkenaan pendekatan kerajaan dalam mempertimbangkan pelaksanaan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) atau penampakbaikan terhadap sistem SST yang lebih sesuai bagi memastikan sistem percukaian negara kekal berdaya tahan.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan belum berhasrat untuk melaksanakan GST kerana pendapatan rakyat secara amnya masih rendah untuk menerima impak cukai GST yang bersifat lebih meluas kepada majoriti rakyat.
"Kerajaan mengambil maklum berkenaan kebaikan sistem GST, namun seperti mana yang telah dijelaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, kerajaan belum berhasrat untuk melaksanakan GST.
"Langkah memperkenalkan semula GST memerlukan tempoh masa persediaan yang lebih panjang, iaitu mungkin sehingga dua tahun bagi memberi ruang kepada syarikat untuk mengemaskini sistem sebelum GST dilaksanakan," katanya.
Dalam masa yang sama, Lim berkata kerajaan mempertimbangkan pelbagai aspek sebelum memutuskan kaedah percukaian yang paling sesuai untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara pada masa ini.
"Kerajaan mempertimbangkan aspek struktur keseluruhan sistem percukaian negara sedia ada, ruang penambahbaikan yang boleh dilakukan, kedudukan ekonomi semasa, keperluan hasil kerajaan serta taraf hidup rakyat secara keseluruhan," kata Lim.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


