Ringkasan AI
- Kerajaan komited memperkukuh pendidikan Islam di Kelantan melalui bantuan kewangan, penaiktarafan prasarana dan pemerkasaan institusi pengajian tradisional.
- Peruntukan RM9.36 juta disediakan untuk 23 institusi pendidikan Islam pada 2025, manakala RM6.628 juta diluluskan tahun ini bagi 42 institusi lain.
- Kerajaan turut meluluskan penggunaan teknologi pembedahan robotik di Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan di Kelantan.
KOTA BHARU: Kerajaan akan terus memperkukuh pembangunan pendidikan Islam di Kelantan menerusi penyaluran bantuan kewangan berterusan, penaiktarafan prasarana dan pemerkasaan institusi pengajian tradisional, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata komitmen itu diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif bersasar bagi memastikan institusi pendidikan Islam di Kelantan khususnya sekolah agama dan pondok beroperasi dalam persekitaran pembelajaran yang kondusif.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan menyediakan peruntukan RM9.36 juta kepada 23 institusi pendidikan Islam di Kelantan pada 2025 manakala sebanyak RM6.628 juta diluluskan tahun ini bagi membiayai 42 institusi lain.
"Saya tahu amanah saya... sementara ada ruang dan kuasa, saya hendak lakukan sebaik mungkin supaya orang anggap pemerintahan dipimpin oleh orang Islam ini adil serta bijak dan lakukan sebaiknya untuk angkat martabat rakyat dan negara," katanya ketika berucap pada Program Sebarkan Salam@Kota Bharu Berselawat di pekarangan Masjid Muhammadi di sini malam ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dan Timbalannya, Marhamah Rosli serta Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata kerajaan turut menyediakan peruntukan bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih berkala selain inisiatif menaik taraf kemudahan masjid serta penyediaan sokongan rawatan dialisis bagi pesakit yang memerlukan.
Beliau turut mengumumkan kelulusan penggunaan teknologi pembedahan robotik di Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan di Kelantan demi keselesaan pesakit.
-- BERNAMA