Kerajaan komited untuk meningkatkan kedudukan "mudah menjalankan perniagaan", dengan jaminan untuk terus melakukan penambahbaikan pada setiap tahun, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), unit di bawah Jabatan Perdana Menteri, telah melaksanakan tugas yang cemerlang dalam membentuk kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta.

"Kami akan terus bekerjasama untuk memastikan peningkatan pada masa depan," katanya kepada pemberita di luar majlis pelancaran myTrade2Cash di sini hari ini.

myTrade2Cash merupakan pembiayaan perdagangan yang komprehensif yang membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memohon kemudahan pembiayaan perdagangan daripada Maybank melalui platform dalam talian Dagang NeXchange Bhd.

Laporan terbaharu Bank Dunia pada Rabu menunjukkan kedudukan Malaysia meningkat dengan ketara sejak beberapa tahun ini dalam senarai mudah menjalankan perniagaan dan kini berada pada tempat pertama dalam kalangan ekonomi sedang pesat membangun di Asia Timur.

Dalam metodologi baharu Menjalankan Perniagaan (DB) 2015 yang diguna pakai oleh Bank Dunia, Malaysia berada pada kedudukan ke-18 daripada 189 ekonomi, naik dua tangga daripada tangga ke-20 tahun lalu.

"Kami gembira dengan perkembangan ini," kata Mustapa.

Mengenai prestasi perdagangan setakat ini pada tahun ini, menteri itu berkata Malaysia dijangka dapat mencatat pertumbuhan empat hingga enam peratus pada tahun ini dalam jumlah dagangan dan tiga hingga empat peratus bagi pertumbuhan eksport.

Beliau berharap prestasi akan lebih baik berbanding tahun lepas apabila eksport berkembang sebanyak 2.4 peratus bagi rekod RM719.8 bilion.