KUALA LUMPUR: Menjelang 100 hari Kerajaan Perpaduan, keyakinan pelabur luar terhadap Malaysia dilihat semakin meningkat dari hari ke hari.

Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran berkata, pengukuhan Ringgit Malaysia juga merupakan permulaan positif kepada kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kabinet Perpaduan Nasional 2023

Begitupun, di sebalik angka positif direkodkan kerajaan, masih ada beberapa perkara, menurut Yuneswaran, yang perlu ditambah baik.

“Pertama adalah berkenaan kebajikan rakyat. Kita tahu selepas pandemik, ramai masih lagi dalam golongan B40, atau mungkin dah ‘drop’, kategori itu kita tidak boleh pakai lagi, pada pendapat saya…kerana sekarang yang M40 itu kebanyakan dah masuk dalam B40.

“Isu kebajikan rakyat perlu diberi perhatian. Juga, dalam aspek pendidikan. Secara holistik perlu ada perubahan, dari segi memberi tumpuan kepada sekolah-sekolah daif dan pembaharuan yang boleh dibuat dalam sistem pendidikan itu.

“Perlu beri keutamaan, akses pendidikan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya ketika ditemui di Bangunan Parlimen, di sini, baru-baru ini.

Yuneswaran juga berpendapat tidak seharusnya dibebankan semua pentadbiran negara kepada Perdana Menteri semata-mata.

Tegasnya, menteri juga perlu berganding bahu supaya masing-masing dapat memainkan peranan dalam meningkatkan prestasi Kerajaan Perpaduan.