DI atas kertas, 10 bidang tumpuan yang digariskan dalam Kenyataan Prabelanjawan 2027 kelihatan menyeluruh. Ia merangkumi segala-galanya daripada kos sara hidup, perlindungan sosial dan pendidikan hinggalah kepada pelaburan, tenaga dan keselamatan siber.
Namun, persoalan sebenar bukanlah sama ada kerajaan mempunyai pelan atau tidak, tetapi sama ada Malaysia masih mempunyai masa dan ruang fiskal yang mencukupi untuk melaksanakan reformasi yang dijanjikan.
Selepas hampir empat tahun pentadbiran MADANI, keutamaan negara kini bukan lagi menggubal dasar baharu. Sebaliknya cabaran sebenar ialah mengubah dasar menjadi hasil yang boleh dirasai rakyat.
Dokumen prabelanjawan itu sendiri mengakui bahawa 2026 menguji daya tahan negara apabila konflik Asia Barat mencetuskan lonjakan harga minyak dunia melebihi USD100 setong.
Dalam konteks itu, Belanjawan 2027 bakal menjadi referendum terhadap keberkesanan reformasi yang telah dilaksanakan sejak 2023.
Kos sara hidup: Adakah bantuan mencukupi?
Tumpuan kedua mengenai kos sara hidup berpotensi menjadi medan penilaian rakyat yang paling kritikal. Kerajaan menegaskan sistem subsidi dan bantuan bersasar akan diperkemas menggunakan data yang lebih tepat.
Namun persoalannya, sejauh mana bantuan tunai boleh terus menjadi penyelesaian utama?
Hakikatnya, kos sara hidup bukan sekadar isu bantuan. Ia berkait rapat dengan kadar gaji, harga rumah, produktiviti dan struktur pasaran.
Jika pendapatan isi rumah terus berkembang lebih perlahan daripada kos kehidupan, bantuan tunai hanya berfungsi sebagai penampan sementara dan bukannya penyelesaian jangka panjang.
Malah, kerajaan sendiri mengakui bahawa penilaian semula kos makanan, perumahan, pengangkutan, kesihatan dan pendidikan perlu dilakukan secara menyeluruh.
Pengakuan ini secara tidak langsung menunjukkan masalah kos sara hidup sudah menjadi isu struktur ekonomi dan bukan lagi fenomena sementara.
Dari negara muda ke negara tua
Satu perkara yang mungkin kurang mendapat perhatian ialah tumpuan ketiga berkaitan perlindungan sosial.
Malaysia dijangka menjadi negara tua menjelang 2030 apabila sekitar 15 peratus penduduk berumur 60 tahun ke atas. Kerajaan melihat perkara ini sebagai isu dasar utama yang memerlukan pembaharuan terhadap KWSP, PERKESO serta sistem penjagaan jangka panjang.
Ini merupakan antara cabaran paling besar yang bakal dihadapi negara dalam dekad akan datang.
Malaysia masih belum mempunyai sistem penjagaan warga emas yang benar-benar komprehensif. Pada masa sama, ramai pekerja sektor gig dan pekerja tidak formal tidak mempunyai perlindungan persaraan yang mencukupi.
Jika isu ini tidak ditangani sekarang, tekanan fiskal terhadap kerajaan berkemungkinan meningkat dengan ketara selepas 2030.
Pendidikan: Reformasi yang terlalu lama ditunggu
Tumpuan keempat memberi fokus kepada STEM, TVET, digital dan AI. Semuanya merupakan agenda yang tepat.
Namun persoalan yang lebih besar ialah mengapa isu sama masih menjadi keutamaan setiap belanjawan sejak lebih sedekad lalu?
Malaysia sering bercakap tentang TVET, kebolehpasaran graduan dan keperluan bakat masa hadapan. Namun rungutan majikan mengenai ketidakpadanan kemahiran masih berterusan.
Situasi ini menunjukkan cabaran sebenar mungkin bukan kekurangan dasar, tetapi kelemahan pelaksanaan dan koordinasi antara kementerian, institusi pendidikan dan industri.
Belanjawan 2027 perlu bergerak melangkaui pengumuman dana dan insentif. Apa yang diperlukan ialah reformasi institusi pendidikan yang lebih berani dan menyeluruh.
Gaji bermaruah atau ekonomi bergaji sederhana?
Tumpuan ketujuh pula menyentuh isu paling dekat dengan rakyat iaitu gaji. Kerajaan mahu memperluas TVET, latihan semula dan pengurangan kebergantungan kepada buruh asing berkemahiran rendah.
Namun peningkatan gaji tidak akan berlaku secara automatik hanya melalui latihan.
Masalah asas ekonomi Malaysia ialah produktiviti yang meningkat pada kadar lebih perlahan berbanding negara pesaing serantau.
Selagi sebahagian besar sektor ekonomi masih bergantung kepada aktiviti bernilai tambah sederhana dan tenaga kerja murah, aspirasi gaji tinggi akan terus berdepan halangan.
Dalam erti kata lain, isu gaji bukan masalah pekerja semata-mata. Ia sebenarnya cerminan struktur ekonomi negara.
Made by Malaysia: Ujian sebenar keupayaan industri tempatan
Antara bahagian paling menarik dalam dokumen ini ialah penekanan kepada agenda "Made by Malaysia". Kerajaan mahu lebih banyak syarikat tempatan membangunkan teknologi, harta intelek dan produk yang mampu bersaing di peringkat global.
Ini merupakan perubahan naratif yang penting.
Selama berdekad-dekad, Malaysia berjaya menarik pelaburan asing tetapi masih bergelut melahirkan syarikat tempatan bertaraf global dalam jumlah yang besar.
Cabaran sebenar ialah bagaimana memastikan syarikat tempatan tidak sekadar menjadi vendor kepada syarikat multinasional, tetapi mampu naik ke tangga lebih tinggi dalam rantaian nilai global.
Jika berjaya, impaknya jauh lebih besar daripada sekadar pertumbuhan eksport kerana ia melibatkan pemilikan teknologi, penciptaan pekerjaan berpendapatan tinggi dan pengumpulan kekayaan domestik.
Reformasi atau keletihan reformasi?
Dari sudut politik ekonomi, keseluruhan dokumen ini memperlihatkan kerajaan masih komited meneruskan agenda reformasi fiskal, subsidi dan tatakelola.
Namun cabaran terbesar mungkin bukan tentangan politik, tetapi keletihan reformasi.
Selepas beberapa tahun melalui pelbagai penyesuaian subsidi, cukai dan perubahan dasar, rakyat semakin menuntut hasil yang boleh dilihat secara langsung dalam kehidupan harian mereka.
Mereka mahu melihat gaji yang meningkat lebih cepat daripada harga barang. Mereka mahu rumah yang lebih mampu milik.
Mereka mahu hospital yang kurang sesak dan pengangkutan awam yang lebih cekap.
Ringkasnya, rakyat kini menilai kerajaan bukan berdasarkan jumlah reformasi yang diumumkan, tetapi berdasarkan perubahan yang dirasai.
Keberhasilan yang nyata
Sepuluh bidang tumpuan Belanjawan 2027 sebenarnya mendedahkan satu hakikat penting: Malaysia kini sedang memasuki fasa kedua reformasi MADANI.
Fasa pertama tertumpu kepada pembetulan struktur fiskal dan institusi. Fasa kedua pula menuntut keberhasilan yang nyata.
Oleh itu, ukuran kejayaan Belanjawan 2027 bukanlah berapa banyak inisiatif baharu yang diumumkan pada 9 Oktober nanti.
Sebaliknya, ia bergantung kepada sejauh mana kerajaan mampu membuktikan bahawa reformasi yang menyakitkan dalam jangka pendek benar-benar menghasilkan kehidupan yang lebih baik untuk rakyat dalam jangka panjang.
Justeru, adalah baiknya jika slogan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” yang menjadi tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) Tahun 2026 dapat diterjemah dan dirasai oleh rakyat.
* Harits Asyraf Hasnan merupakan Penolong Naib Presiden, Pengarang Multiplatform, Bahagian Perniagaan, Ekonomi dan Kewangan di Astro AWANI.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.