Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini memperluaskan portfolio pelaburan hartanahnya di Australia selepas menandatangani perjanjian untuk melanggan 46 peratus kepentingan dalam Yarra Park City Pty Ltd (YPC) pada A$154 juta (A$1 = RM3.40).

Dalam kenyataan hari ini, OSK Holdings Bhd berkata, YPC ditubuhkan di New South Wales, Australia dan memiliki hak pembangunan ke atas projek pembangunan kegunaan bercampur seluas 2.02 hektar -- Melbourne Squre -- di Southbank, Melbourne.

"Baki 51 peratus kepentingan dalam YPC dipegang oleh PJ Development Holdings Bhd (PJD), anak syarikat OSK, melalui unit milik penuhnya di Australia iaitu P.J. (A) Pty Ltd (PJA) dan Equity & Property Investment Corp Pty Ltd (EPIC), yang 27.4 peratus milik PJA," menurut OSK.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, pembangunan hartanah Melbourne itu menepati objektif jangka panjang KWSP dan akan menjadi tambahan baik kepada portfolio luar negara institusi itu.

"Ini merupakan penerokaan pembangunan kedua KWSP di luar negara selepas Battersea di London.

"Peningkatan permintaan kediaman di Melbourne, Australia akan membolehkan KWSP menjana pulangan untuk anggotanya," kata beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif serta Pengarah Urusan Kumpulan OSK, Tan Sri Ong Leong Huat berkata, Melbourne Square akan menjadi penglibatan sulung syarikat itu di Melbourne.

Beliau berkata, peningkatan jumlah penduduk dan kerancakan pasaran hartanah di Melbourne telah menarik minat pemaju antarabangsa sejak beberapa tahun kebelakangan ini termasuk beberapa pemaju terkemuka Malaysia.

Melbourne Square akan menjadi destinasi utama sebagai antara bandar paling sesuai didiami dunia memandangkan ia juga adalah antara tanah premium bersaiz cukup besar terakhir yang ada untuk pembangunan ikonik di bandar raya Melbourne, katanya.

"Ini merupakan projek penting untuk masa depan Southbank dan ia menyediakan infrastruktur komuniti penting yang diperlukan bandar raya itu," katanya.

Pembangunan Melbourne Square akan mengubah bekas kawasan letak kenderaan yang bersempadan dengan WestgateFreeway Street, Kavanagh Street, Balston Street dan Power Street di Southbank kepada pusat peruncitan dan komuniti pelbagai guna yang dinamik, dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar A$2.8 bilion.

Melbourne Square akan terdiri daripada empat menara pangsapuri, menara pejabat, menara hotel/pangsapuri servis dan lot niaga meliputi pelbagai bahagian.

Projek itu akan dibangunkan dalam lima peringkat dengan tempoh antara lapan hingga sepuluh tahun.

-- BERNAMA