KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) merekodkan sebanyak 15,809 koperasi berdaftar di bawah SKM dengan jumlah keahlian sebanyak 7.31 juta orang setakat 31 Dis lepas.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R. Ramanan berkata, daripada jumlah itu, Selangor dan Kuala Lumpur menjadi negeri yang mempunyai banyak koperasi.

"Di Lembah Klang kita mempunyai 3,286 koperasi yang berdaftar dan Selangor pula mempunyai 2,114 koperasi. Koperasi ini adalah tulang belakang kepada negara, kalau kita tengok jumlah aset yang dipegang oleh koperasi lebih 15,000 ini adalah sebanyak RM159.61 bilion," katanya pada sidang media selepas melawat ibu pejabat SKM, di sini, pada Selasa.

Lawatan tersebut adalah yang pertama diadakan setelah Ramanan dilantik Timbalan Menteri di kementerian itu.

Beliau berkata, SKM turut menyasarkan 650 penubuhan koperasi baharu dan 32 pemulihan koperasi pada tahun ini.

"Kita juga sasarkan 650 penubuhan koperasi baharu selepas tahun lepas kita telah mencapai 1,001 koperasi. Bagi pemulihan koperasi pula kita sasar 35 pada tahun lepas tetapi kita telah baik pulih 92 koperasi," katanya.

Beliau berkata, SKM turut menyasarkan 427 pembatalan pendaftaran koperasi pada tahun ini.

"SKM pada tahun lepas, sasar untuk membatalkan (pendaftaran) adalah 440 (koperasi) tetapi yang dicapai adalah 500 koperasi . Bukan niat SKM untuk membatalkan, tetapi ada yang saya dimaklumkan (maklumat mengenai) Setiausaha Agung, Pengerusi dan pertukaran alamat susah untuk dicari," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Rusli Jaafar berkata, pihaknya sedang memproses permohonan peruntukan bencana bagi 36 koperasi yang terjejas akibat banjir dengan jumlah maksimum RM30,000.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, 14 permohonan daripada Terengganu, Kelantan (tujuh), Pahang (10), dan lima di Johor.

"Jumlah yang dipohon adalah RM600,000, namun kita ada peruntukan RM2 juta untuk membaik pulih premis mereka yang rosak, tanaman musnah dan sebagainya," katanya. - BERNAMA