KUALA LUMPUR: Kelemahan dalam kutipan hasil sewa hartanah menyebabkan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) berpotensi kehilangan hasil berjumlah RM24.45 juta, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021.

Berdasarkan laporan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, kerugian itu merangkumi antaranya sewa hartanah sebanyak RM12.67 juta dan sewaan hartanah bernilai RM170,474 yang tidak dikutip mengikut perjanjian dan surat tawaran sewaan.

Semakan audit mendapati kerugian itu juga disebabkan jumlah sewaan yang tidak dapat dikenakan kepada anak syarikat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), syarikat 174274-D yang beroperasi di atas lapan lot hartanah RAC bagi menjalankan aktiviti perkhidmatan penghantaran dan logistik menyebabkan kehilangan hasil sebanyak RM11.61 juta.

"Berdasarkan Surat Tawaran Pengambilalihan Penyewaan, kadar sewa bulanan yang dikenakan bagi lapan lot hartanah ialah RM87,930. Bagaimanapun, hingga 31 Dis 2022 (sejak Julai 2012), syarikat 174274-D tidak mengembalikan Surat Setuju Terima Tawaran Pengambilalihan Penyewaan kepada RAC.

"Perkara ini berlaku disebabkan KTMB tidak bersetuju anak syarikatnya yang beroperasi di atas tanah milik RAC dikenakan sewaan. Walaupun perbincangan telah diadakan, persetujuan masih belum dicapai," menurut laporan pengauditan berkaitan pematuhan agensi Persekutuan itu.

Menurut laporan itu, pengauditan dijalankan di RAC melibatkan kutipan hasil sewa hartanah mengikut tempoh perjanjian hingga 31 Dis 2022, meliputi 374 daripada 1,246 penyewa hartanah dengan lawatan fizikal dibuat terhadap 34 hartanah di Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Perak, Perlis dan Kelantan.

Bagi memastikan RAC berupaya menjana pendapatan berterusan melalui aset kereta api, pihak audit mengesyorkan pematuhan kepada peraturan kewangan melalui tindakan yang perlu dilaksanakan terhadap beberapa perkara.

Ia termasuk menguatkuasakan terma dalam perjanjian sewaan terhadap 12 penyewa yang mempunyai tunggakan, terutamanya bagi 10 syarikat sendirian berhad yang menjalankan perniagaan komersial.

Selain itu, pihak RAC disarankan supaya memastikan 54 penyewa dan lain-lain penyewa yang telah mengembalikan Surat Tawaran Sewaan disusuli dengan perjanjian penyewaan bagi menjamin kepentingan RAC dipelihara.

Pihak audit juga mengesyorkan agar isu sewaan antara RAC dengan syarikat 174274-D dan KTMB dapat dirunding dan diselesaikan dengan segera selaras peruntukan Akta 463.

Dalam pada itu, laporan berkenaan turut menyatakan RAC telah menjalankan fungsinya dalam menjana hasil sewa hartanah kereta api apabila sejumlah RM69.80 juta berjaya dikutip bagi tempoh 2021 dan 2022.

-- BERNAMA