NORMALISASI kadar dasar semalaman (OPR) sejak 2022 telah mewujudkan ruang dasar untuk Bank Negara Malaysia (BNM) bertindak balas terhadap kemungkinan pertumbuhan ekonomi kurang memberangsangkan pada masa hadapan, kata pakar ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, keadaan monetari semasa telah sedia terbatas dengan kadar faedah sebenar berlegar pada 1.5 peratus pada Disember 2023 berbanding purata jangka masa panjang 0.6 peratus.

"Kita dapat lihat kadar kelulusan pembiayaan dalam sistem perbankan turun kepada 49.9 peratus pada Disember 2023 daripada 61.7 peratus pada Ogos 2022.

"Susulan itu, ada kemungkinan BNM mahu mengurangkan OPR sekiranya momentum pertumbuhan tidak stabil,” katanya kepada Bernama.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku keempat 2023 adalah pada 3.0 peratus, iaitu di bawah jangkaan awal Jabatan Perangkaan Malaysia pada 3.4 peratus dan pertumbuhan 3.3 peratus yang dicapai pada suku sebelumnya.

"Semakan utama yang kami lihat semasa bacaan terakhir adalah untuk sektor perkhidmatan dan pembuatan berbanding anggaran awal. Pertumbuhan sektor perkhidmatan diturunkan kepada 4.2 peratus daripada 4.7 peratus yang dibuat semasa anggaran awal, dan sektor pembuatan disemak turun kepada penguncupan 0.3 peratus daripada pertumbuhan 0.1 peratus,” katanya.

Beliau berkata sebaliknya, kadar pertumbuhan untuk sektor perlombongan, pembinaan dan pertanian telah disemak naik masing-masing kepada 3.8 peratus (daripada 3.7 peratus semasa anggaran awal), 3.6 peratus (daripada 2.5 peratus berdasarkan anggaran awal) dan 1.9 peratus (1.2 peratus sebelum ini).

Dari segi permintaan, pertumbuhan perbelanjaan pengguna, yang membentuk 60.8 peratus daripada KDNK keseluruhan, susut kepada 4.2 peratus daripada 4.6 peratus pada suku sebelumnya, katanya.

"Walaupun pasaran buruh terus bertambah baik, yang akan membolehkan isi rumah berbelanja namun pelbagai isu berkaitan kos sara hidup lebih tinggi mungkin menyebabkan pengguna berhati-hati dalam tabiat berbelanja mereka.

"Ini ditunjukkan menerusi Indeks Sentimen Pengguna (CSI) yang bergerak di bawah 100 mata untuk empat suku berturut-turut, menandakan pengguna kebanyakannya pesimis mengenai keadaan ekonomi semasa,” tambahnya.

Bacaan CSI terkini pada suku keempat adalah 89.4 mata, lebih tinggi daripada 78.9 mata pada suku sebelumnya.

Selain itu, eksport bersih negara merosot 35.6 peratus pada suku akhir 2023 berbanding -22.7 peratus pada suku sebelumnya.

Mohd Afzanizam berkata, ini menunjukkan Malaysia mempunyai ekonomi terbuka justeru, sebarang pergeseran permintaan luar akan memberi kesan kepada eksport dan sektor pembuatan negara.

"Permintaan dalam negara akan menjadi faktor sokongan utama yang akan memastikan pertumbuhan keseluruhan Malaysia kekal stabil. Oleh yang demikian, dasar fiskal dan monetari adalah faktor utama untuk memastikan pertumbuhan akan berdaya tahan pada 2024,” katanya.

Beliau berpandangan untuk meningkatkan kedudukan fiskal negara, mempercepat perbelanjaan pembangunan (DE) menjadi satu keperluan strategik.

"Langkah itu akan memastikan ekonomi berkembang secara mampan memandangkan DE (secara beransur-ansur), meningkatkan produktiviti dan kapasiti ekonomi dalam jangka masa sederhana hingga panjang.

"Dalam jangka masa pendek, pelaksanaan projek infrastruktur akan memberi kesan limpahan kepada sektor utama iaitu pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan,” katanya.

Pakar ekonomi itu berkata, dalam jangka masa panjang, projek infrastruktur yang siap akan membantu negara merealisasikan peningkatan produktiviti dan melonjakkan pertumbuhan ekonomi. - Bernama