BUSINESS
Malaysia Airlines, Google jalin kerjasama strategik pacu inovasi AI

Farhan (dua, kiri) dan Dersenish (dua, kanan) memeterai kerjasama antara Malaysia Airlines dan Google bagi menjayakan usaha yang selari dengan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh keterlibatan pengguna. - Foto DagangNews
KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines menjalinkan kerjasama strategik dengan Google bagi mempercepatkan transformasi digital melalui kecerdasan buatan (AI), pemasaran berasaskan data, dan pengalaman digital yang inovatif.
Kerjasama itu merupakan kesinambungan yang dimulakan pada 2024 dan menumpukan kepada penerapan teknologi secara menyeluruh dalam operasi Malaysia Airlines.
Usaha tersebut selari dengan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh keterlibatan pengguna secara peribadi dan mendalam, sejajar matlamat untuk menjadikan Malaysia Airlines sebagai pintu masuk ke Asia dan menyokong sasaran pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026).
Ketua Pegawai Komersial Airlines di bawah Malaysia Aviation Group (MAG), Dersenish Aresandiran berkata, kerjasama itu bukan sahaja tertumpu kepada pemasaran, malah ia merangkumi keseluruhan pengalaman pelanggan dari fasa inspirasi dan tempahan hingga ke perjalanan sebenar."Dengan kepakaran Google dan teknologi AI yang dimiliki membuka ruang baharu dalam memperkukuh pengalaman perjalanan serta mempertingkat kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia," katanya dalam satu kenyataan.
Kedua-dua pihak turut memperkenalkan paparan AI interaktif di Pameran MATTA, menggunakan teknologi Veo milik Google yang menukar gambar kepada video dinamik untuk dikongsi di media sosial.
Google melalui platform Gemini, akan memacu pengalaman pelanggan yang disesuaikan melalui analitik data dan rumusan AI untuk menawarkan interaksi lebih relevan.
Kerjasama di bawah Pelan Perniagaan Bersama itu turut menyasarkan pembangunan kempen jenama global menerusi YouTube, khususnya di United Kingdom, Australia, New Zealand, Jepun, dan pasaran utama ASEAN.
Ia turut memperkukuh strategi Malaysia Airlines memperluas pasaran dan membina kesetiaan pelanggan.
Inisiatif lain termasuk penggunaan data pihak pertama untuk memahami tingkah laku pengguna, serta pendekatan 'uji dan belajar' dalam mempercepat inovasi pemasaran digital syarikat.
Pengarah Negara Google Malaysia, Farhan Qureshi berkata, usaha sama itu membuktikan bagaimana teknologi dan kreativiti boleh digabungkan untuk mengubah pengalaman perjalanan pada skala global.
"Bersama Malaysia Airlines, kami meneroka pendekatan baharu untuk mendekati pengguna dengan kandungan yang menarik dan mudah diakses," katanya.
Secara keseluruhan, kerjasama tersebut memperkukuh komitmen Malaysia Airlines terhadap kecemerlangan digital dan inovasi dalam industri penerbangan serantau. - DagangNews.com
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami