Walaupun persekitaran luar tidak begitu memberangsangkan, pakar ekonomi yakin Malaysia bakal menikmati pertumbuhan ekonomi berterusan pada tahun depan, didorong oleh permintaan domestik dan pelaburan yang kukuh.

Meskipun ada yang menjangka pertumbuhan sederhana berbanding 2012, pengembangan dalam permintaan domestik, disokong oleh perbelanjaan sektor swasta diunjur mengimbangi kelemahan pertumbuhan eksport dan membantu negara dengan ketara mengurangkan defisit belanjawan.

Lebih banyak aliran masuk pendapatan juga dijangka daripada pembinaan, pelancongan, perkhidmatan, serta minyak dan gas.

Negara kini menuju ke arah mencapai pertumbuhan ekonomi lebih daripada lima peratus pada 2013, selepas mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.7 peratus pada suku pertama, 5.6 peratus pada suku kedua dan 5.2 peratus pada suku ketiga.

Unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun depan adalah di antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus, meskipun ekonomi global yang mencabar.

Antara yang optimis pencapaian sasaran itu ialah RAM Holdings Bhd yang mengekalkan unjuran KDNK Malaysia pada 5.3 peratus bagi tahun depan memandangkan pertumbuhan positif dua angka dalam pelaburan swasta dalam tempoh tiga suku pertama 2012.

Ketua Ekonomi Kumpulan Dr Yeah Kim Leng berkata jika kerajaan boleh mengekalkan pertumbuhan pelaburan swasta, yang merupakan lebih daripada 20 peratus dalam tiga suku pertama 2012, pertumbuhan ekonomi berkemungkinan akan dikekalkan mengatasi lima peratus tahun depan.

"Strategi pertumbuhan permintaan domestik kita perlu menggalakkan dan meningkatkan keyakinan dalam sektor swasta dan mewujudkan persekitaran perniagaan yang menggalakkan mereka untuk melabur dalam negara," kata Yeah.

JPMorgan Securities (Malaysia) Sdn Bhd pula menjangka KDNK Malaysia berkembang pada kadar 5.2 peratus tahun ini dan 4.5 peratus pada 2013, dengan mengatakan negara kelihatan menarik dari sudut pandangan serantau disebabkan ketahanan dan pertumbuhan yang diterajui domestik.

Pengarah Eksekutif Penyelidikan Ekuitinya Mak Hoy Kit berkata bagi tahun depan, sektor utama adalah minyak dan gas, penjagaan kesihatan, amanah pelaburan hartanah, media dan penerbangan, terutamanya syarikat penerbangan kos rendah.

Dengan sasaran yang hampir sama, firma berpangkalan di Singapura, Spire Research and Consulting Pte Ltd berkata, ekonomi Malaysia berpotensi untuk berkembang di luar sasaran kerajaan di antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Leon Perera berkata persekitaran ekonomi global yang bertambah baik, keyakinan pengguna yang meningkat di Malaysia, serta kawalan fiskal berhemat kerajaan adalah antara faktor penyumbang utama.

Perera berkata usaha kerajaan untuk meningkatkan ekonomi melalui pelbagai inisiatif seperti Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaan akan disokong melalui langkah-langkah yang diumumkan dalam Belanjawan 2013.

Sementara itu, Douglas McWilliams, Ketua Penasihat Ekonomi Institut Akauntan Berkanun di England dan Wales, mengambil pendekatan sederhana, meramalkan pertumbuhan KDNK Malaysia tahun depan pada 3.8 peratus.

"Unjuran kami bagi 2013 tidak jauh lebih rendah daripada 5.0 peratus, (tetapi) kerana nombor pertama ialah tiga, secara psikologi jurang adalah lebih luas, malah ia hanya 1.2 peratus lebih rendah berbanding unjuran kerajaan.

"Kami meramalkan pertumbuhan KDNK dunia pada kira-kira 3.8 peratus dan Asean berkembang 3.5 peratus, dan itu cukup baik," katanya.

Badan perakaunan profesional berpangkalan di Eropah itu menjangka perbelanjaan kerajaan selepas pilihan raya di Malaysia akan berkembang lebih perlahan.

"Kitaran perbelanjaan di seluruh dunia dan di kebanyakan negara, perbelanjaan awam cenderung lebih cepat pada tahun sebelum pilihan raya berbanding tahun selepas pilihan raya.

"Kami menjangka dapat melihat pengembangan perbelanjaan kerajaan, tetapi perbelanjaan awam ke tahap luar selepas itu," katanya.

Dalam menjadi kompetitif, McWilliams berkata kerajaan Malaysia mempunyai dasar yang baik dan wajar.

"Terdapat dua elemen dasar kerajaan iaitu untuk bergerak ke harga berasaskan pasaran, dan yang kedua ialah meningkatkan kemahiran.

"Apabila Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) melihat rancangan berkenaan, mereka memandang tinggi mengenainya, pandangan saya adalah sama seperti IMF bahawa ini adalah perkara yang betul untuk dilakukan," katanya.

Di peringkat global, McWilliams berkata China mungkin akan baik pada 2013 manakala AS perlu mempunyai penyatuan fiskal ".

"Eropah masih dalam kemelesetan dan tidak menunjukkan tanda-tanda keluar daripadanya, jadi berkemungkinan menjadi negatif dan seluruh dunia perlu menerimanya," tambah beliau.