KUALA LUMPUR: Malaysia akan dapat melonjakkan rantaian nilai dan pada masa sama keluar daripada perangkap berpendapatan sederhana jika industri Malaysia, termasuk pertanian, pembuatan dan penjagaan kesihatan mula meneroka bidang sains dan teknologi baharu.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata walau bagaimanapun anjakan strategik itu memerlukan pembaharuan penting untuk merangsang ekosistem serta mencipta peluang, justeru, pelan tindakan Kuala Lumpur 20 (KL20) yang akan dilancarkan pada 22 dan 23 April depan akan menjadi langkah hala tuju yang tepat.

Perkara itu disuarakan beliau semasa menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Sains dan Teknologi Inovasi Kedua China-Malaysia: 'Memupuk Kerjasama Inovasi, Membina Masa Depan Bersama' di sini, pada Rabu.

Beliau turut menekankan bahawa Malaysia menyediakan tempat ujian bagi teknologi China yang bernilai tinggi.

"Malaysia ialah pangkalan utama bagi penyumberan luar pengujian dan pemasangan semikonduktor (OSAT), dengan menguasai kira-kira 13 peratus bahagian pasaran global.

"Berdasarkan pangkalan peringkat akhir yang luas, Malaysia ialah tempat ujian yang ideal untuk teknologi China yang mahal. Ia adalah kesediaan industri untuk pengembangan komersial dalam bentuk kemajuan reka bentuk litar bersepadu," katanya.

Pada November tahun lepas, beliau berkata kerajaan merancang untuk menjadikan Malaysia sebagai hab serantau AI, selain mewujudkan ekosistem untuk syarikat pemula niaga yang berminat dengan teknologi yang akan diumumkan dalam pelan tindakan KL20.

-- BERNAMA