Malaysia kekalkan akses eksport sarang burung walet ke China

Mohamad menandatangani Protokol Pemeriksaan, Kuarantin dan Keperluan Kebersihan bersama Sun Meijun sempena Mesyuarat Menteri China-ASEAN ke-9 mengenai Kerjasama SPS di Chongqing, pada Khamis. - Foto Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
KUALA LUMPUR: Malaysia mengekalkan akses pasaran eksport sarang burung walet (SBW) ke China selepas memeterai Protokol Pemeriksaan, Kuarantin dan Keperluan Kebersihan yang baharu.
Ringkasan AI
- Malaysia mengekalkan akses eksport sarang burung walet ke China selepas menandatangani Protokol Pemeriksaan, Kuarantin, dan Kebersihan baharu, memastikan perdagangan bernilai RM1.5 bilion setahun.
- Protokol ini menetapkan keperluan teknikal terkini bagi pengeksportan SBW ke China, menggantikan dua protokol sebelumnya yang ditandatangani pada 2012 dan 2016.
- Malaysia berhasrat memperluas kerjasama perdagangan pertanian dengan China termasuk memuktamadkan protokol baharu bagi eksport produk ayam, membawa manfaat kepada pengusaha rumah burung walet dan loji pemprosesan yang diluluskan oleh GACC.
"Protokol ini menetapkan keperluan teknikal terkini berkaitan pemeriksaan veterinar, kebersihan, pelabelan dan audit bagi pengeksportan SBW mentah bersih dan belum dibersihkan ke China.
"Ia menggantikan dua protokol yang ditandatangani pada 2012 bagi eksport SBW mentah bersih dan pada 2016 bagi eksport SBW belum bersih ke China," katanya dalam kenyataan semalam.
Mohamad berkata China kekal sebagai destinasi utama eksport SBW Malaysia dengan jumlah eksport meningkat daripada 201 tan pada 2022 kepada 484 tan pada 2024.
"Pemeteraian protokol ini amat penting bagi memastikan kesinambungan eksport sarang burung walet Malaysia ke pasaran China serta memperkukuh reputasi Malaysia sebagai pembekal utama produk EBN (Edible Bird's Nest) berkualiti tinggi di rantau ini," katanya.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) akan terus bertindak sebagai pihak berkuasa kompeten mengawal selia pensijilan, keselamatan veterinar dan pemeriksaan loji pemprosesan berdaftar dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
Beliau berkata Malaysia juga berhasrat memperluas kerjasama perdagangan pertanian dengan China, termasuk memuktamadkan protokol baharu bagi eksport produk ayam dalam masa terdekat.
"Pelaksanaan protokol ini dijangka memberikan manfaat langsung kepada lebih 15,000 pengusaha rumah burung walet dan 61 loji pemprosesan yang telah diluluskan oleh GACC sekali gus meningkatkan daya saing eksport agromakanan negara," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


