BISNES
Malaysia kemuka Kepimpinan Digital ASEAN di persidangan MDX, Smartgov 2025 September ini

Dari kiri: Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil; Ketua Pengarah JDN, Ts. Nik Zalbiha Nik Mat; dan Pengarah Urusan Synapze Sdn Bhd, Andrew Tai. - Foto MDEC
KUALA LUMPUR: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Jabatan Digital Negara (JDN) dengan kerjasama strategik bersama Synapze Sdn Bhd mengumumkan Persidangan Malaysia Digital Xceleration (MDX) 2025 dan SmartGov Malaysia 2025 akan diadakan dari 17 hingga 19 September 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Ringkasan AI
- Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Jabatan Digital Negara (JDN) dengan kerjasama strategik bersama Synapze Sdn Bhd mengumumkan Persidangan Malaysia Digital Xceleration (MDX) 2025 dan SmartGov Malaysia 2025 akan diadakan dari 17 hingga 19 September 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
- Acara yang memasuki edisi ketiga, MDX Summit 2025, diadakan serentak dengan SmartGov Malaysia 2025 pertama sekali gus memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara digital terkemuka di ASEAN.
- Sebagai platform ekonomi digital utama negara, kedua-dua acara ini berfungsi sebagai pusat perbincangan transformasi berhubung teknologi terkini, menyokong cita-cita Malaysia untuk memimpin ekonomi data serantau selaras dengan visi Kerajaan Madani untuk membina sebuah negara pintar yang inklusif, lestari dan digital.

Anuar Fariz ketika menyampaikan ucapan di taklimat media Malaysia Digital Xceleration (MDX) Summit 2025 dan SmartGov Malaysia 2025, di Grand Hyatt, Kuala Lumpur. - Foto MDEC
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil, berkata persidangan ini akan mempercepatkan kepimpinan digital Malaysia di ASEAN dengan mendorong inovasi, pelaburan dan pertumbuhan inklusif.
“Teknologi yang menggunakan aset digital dan ejen digital sebagai terasnya akan mendorong hasil melalui pembangunan bakat, inovasi dan kecerdasan buatan (AI) yang bertanggungjawab untuk perkhidmatan awam lebih pintar,” katanya ketika di taklimat media di Grand Hyatt, Kuala Lumpur.
MDX Summit bakal merangkumi lima bidang teras iaitu, Data Generasi Seterusnya, Pengkomputeran Generasi Seterusnya, Kepercayaan Generasi Seterusnya, Kreativiti Generasi Seterusnya, dan Bakat Generasi Seterusnya, bertujuan memperkukuhkan kedudukan Malaysia dalam menerapkan inovasi teknologi ke dalam penyelesaian yang memberi manfaat kepada perniagaan, perkhidmatan kerajaan, rakyat, dan ekonomi serantau lebih luas.
Acara ini akan menampilkan pakar antarabangsa, termasuk Profesor Ekonomi di London School of Economics dan penulis buku The New China Playbook, Dr. Keyu Jin, dan Pengarah Urusan di Founders oleh Universiti Cambridge dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tech Nation UK, Gerard Grech.

Nik Zalbiha ketika berucap di taklimat media Malaysia Digital Xceleration (MDX) Summit 2025 dan SmartGov Malaysia 2025 di Grand Hyatt, Kuala Lumpur. - Foto MDEC
Sementara itu, Ketua Pengarah JDN, Ts. Nik Zalbiha Nik Mat menjelaskan bahawa kerajaan komited untuk membina ekosistem di mana inovasi dapat berkembang sambil menjaga ketelitian data, kepercayaan dan inklusiviti.
“Visi ini akan tercermin dalam tumpuan acara kepada chatbot warganegara yang dipacu kecerdasan buatan (AI), perkongsian siber keselamatan dan penyampaian perkhidmatan awam lebih pintar,” katanya.
SmartGov Malaysia 2025 dengan teman “GovTech untuk Masa Depan - Mencipta Penyampaian Perkhidmatan Awam” bertujuan untuk mengukuhkan ekosistem GovTech Malaysia dan mempercepatkan penggunaan digital dalam perkhidmatan awam.
Ia menonjolkan tiga tonggak tadbir urus yang bersedia untuk masa depan termasuk AI untuk penyelesaian berpusatkan warganegara, Big Data untuk kepercayaan dan ketelusan, serta Pengkomputeran Awan untuk perkhidmatan berdaya tahan.
SmartGov Malaysia 2025 akan menampilkan moderator antarabangsa termasuk CEO Lardi & Partner Consulting GmbH, Kamales Lardi, yang juga penulis buku terlaris The Human Side of Digital Business Transformation, yang akan berkongsi pandangan berhubung bagaimana transformasi masa depan lebih berpusat pada manusia.
Kedua-dua MDX Summit dan SmartGov Malaysia 2025 akan menawarkan pameran mendalam, meja bulat strategik, dan jaringan peringkat tinggi merentas sektor.
Untuk maklumat lanjut dan butiran pendaftaran, layari https://mdec.my/mdx .
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami