Malaysia dan China meluaskan pakatan pelabuhan dengan memeterai perjanjian persefahaman (MoU) antara Lembaga Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Huizhou di sini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata perjanjian itu dijangka mengukuhkan lagi aktiviti perdagangan antara kedua-dua negara.

"Perjanjian ini penting bagi menyokong usaha China melaksanakan inisiatif Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21 dalam menyuburkan aktiviti perdagangan di rantau ini.

"Malaysia mempunyai banyak pelabuhan seperti Pelabuhan Kuching, Sepanggar dan beberapa lagi pelabuhan di Sabah dan Sarawak yang kita boleh uruskan menjadi satu pakatan dengan pelabuhan di China," katanya pada sidang media sempena Konvensyen Huizhou Sedunia Ke-9 di Seri Kembangan, dekat sini pada Sabtu.

Terdahulu, Liow menyaksikan MoU antara Lembaga Pelabuhan Kuantan yang diwakili Pengerusinya Tan Sri Tengku Azlan Abu Bakar dengan Pelabuhan Huizhou China yang diwakili Ketua Pengarahnya Ma Chenghui.

Hadir sama Pengerusi Huizhou Malaysia, Datuk Seri Lee Jin Xian dan Presiden Huizhou China, Chen Xun Ting.

Liow berkata perjanjian itu juga merupakan usaha kerajaan untuk meningkatkan nilai dagangan dengan China yang disasarkan untuk mencecah AS$160 bilion (AS$1 = RM4.08) menjelang 2017.

"Pada 2014, perdagangan kita dengan China sebanyak AS$100 bilion dan kita berusaha untuk meningkatkan kepada AS$160 bilion menjelang 2017. Bagaimanapun, jumlah ini agak tinggi dan sukar untuk dicapai.

"Namun, kita akan berusaha untuk meningkatkannya dan jika tidak dapat mencapainya pada tahun depan, kita akan terus meningkatkannya untuk tahun selanjutnya," katanya.

Malaysia merupakan rakan dagang terbesar China dalam kalangan negara ASEAN untuk enam tahun berturut-turut.