Syarikat penerbangan hibrid Malaysia, Malindo Air, kini di peringkat akhir mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa India untuk memulakan penerbangan ke negara itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chandran Rama Muthy, berkata antara destinasi-destinasi yang sedang dikaji oleh syarikat penerbangan itu ialah Delhi, Mumbai dan Kochi.

"Kami masih menunggu kelulusan dan kami menjangka untuk mengetahui keputusannya dalam sebulan dua lagi," katanya kepada pemberita selepas pembukaan rasmi pejabat tempahan tiket lapangan terbangnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di sini Jumaat.

Pada masa ini, syarikat itu membuat penerbangan ke 12 destinasi yang 11 daripadanya adalah laluan domestik dan satu laluan antarabangsa.

"Kami akan memulakan penerbangan antarabangsa sulung ke Dhaka Rabu depan.

"Menjelang Oktober, kami menjangka untuk memperkenalkan satu lagi destinasi antarabangsa," katanya.

Chandran berkata menjelang akhir tahun ini, Malindo Air akan mempunyai 20 laluan yang, 60 peratus daripadanya dalam destinasi domestik.

Mengenai rancangan peluasan syarikat itu, beliau berkata syarikat itu akan menerima dua pesawat ATR72-600 baharu bulan depan dan akan juga memperkenalkan laluan-laluan baharu.

Syarikat itu juga menyasarkan untuk membawa 1.5 juta penumpang menjelang akhir tahun daripada kira-kira 300,000 penumpang sekarang.

"Tahun depan, sasaran kami ialah membawa tiga juta penumpang dan kami percaya kami akan dapat mencapainya kerana kami akan ada 10 pesawat tahun depan," katanya.

Di samping itu, kata Chandran, syarikat itu akan mempunyai lebih banyak pejabat tempatan tiket di lapangan terbang secara berperingkat, ke destinasi-destinasi penerbangannya kerana kini ia mempunyai saiz dan skala serta laluan untuk memperluaskan jangkauannya.