KUALA LUMPUR: Maxis Awards mengiktiraf usahawan unggul negara yang menyumbang kepada kemajuan dan impak positif kepada semua rakyat.

Ketua Jenama dan Pemasaran Maxis, Tai Kam Leong berkata, anugerah tersebut bertujuan mencungkil idea berwawasan daripada wira-wira terpilih dan membantu merealisasikan projek masing-masing.

"Tujuannya sangat mudah, kami hanya ingin mempercepat dan memperkukuhkan idea dan projek yang membolehkan mereka benar-benar maju.

"Peranan kami menggunakan sumber, kepakaran dan pengetahuan serta teknologi yang yang dimiliki," katanya semasa sidang video pada Khamis.

Jelasnya, pelancaran julung kali Maxis Awards tepat pada masanya kerana ia merangkumi semangat bangsa Malaysia yang bersatu mendukung harapan walaupun dalam keadaan yang mencabar.

Katanya, mencari idea terbaik dan mengubahnya menjadi peluang adalah sesuatu yang memberikan inspirasi.

Tambahnya, sokongan dan kepakaran akan memperkasakan wira berkenaan supaya dapat memulakan kesan positif yang berpanjangan untuk kemajuan negara.

Sebelum ini, Maxis telah mengundang beberapa perusahaan tempatan untuk mengemukakan cadangan projek yang berpotensi yang memberikan kesan ketara ke atas komuniti dan memacu perubahan positif.

Cadangan tersebut kemudiannya dinilai dengan rapi oleh panel penilai Maxis.

Syarikat yang terpilih menyampaikan cadangan mereka kepada panel itu dan pemenang akan dipilih berdasarkan tiga kriteria utama iaitu inovatif, berkemampuan teknologi dan mempamerkan sumbangan positif kepada masyarakat, baik dari segi ekonomi, sosial serta persekitaran.

Beberapa projek akan dipilih di mana dua projek pemenang pertama bakal diumumkan pada akhir bulan ini.

Maxis akan memberi sumbangan bernilai RM5 juta kepada usaha memaju dan mempromosi projek pemenang anugerah sepanjang tahun yang akan datang daripada peringkat idea, inovasi sehingga pelaksanaan cadangan.

Dalam pada itu jelasnya, Maxis juga telah melancarkan video yang memberikan gambaran ringkas tentang sistem sokongan dan kisah sebalik tiga anak bangsa Malaysia pemberi inspirasi yang telah  berjaya menggunakan teknologi dalam menangani keperluan pasaran sambil menyumbang kepada masyarakat dan negara iaitu Pengasas Bersama GoGet, Francesca Chia; Pengasas FatHopes Energym P;  Vinesh Sinha dan Pengasas Bersama The Lorry, Nadhir Ashafiq, 

Ketiga-tiga usahawan itu dan organisasi masing-masing telah mempamerkan semangat yang ingin diperjuangkan, disokong dan dimajukan oleh anugerah itu dan mempamerkan teladan yang selaras dengan  jenama Maxis.