KUALA LUMPUR: Maxis Berhad mengorak satu lagi langkah ke hadapan dengan melancarkan aplikasi mudah alih eKelas bagi menawarkan pengalaman pembelajaran digital yang lebih menyeronokkan. 

Kini aplikasi itu sedia untuk dimuat naik secara percuma di Apple Store dan Google Play Store.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut memberitahu, inisiatif itu adalah sebahagian daripada komitmen syarikat telekomunikasi itu untuk membawa teknologi terbaik dalam terus menerajui pendigitalan dalam pembelajaran.

"Hari ini kita mempunyai lebih 50,000 pelajar melibatkan 600 pelajar termasuk 60 sekolah di Kelantan yang menggunakan aplikasi ini.

"Kita juga merancang untuk mencapai lebih ramai pelajar di seluruh negara. Jadi hari ini menandakan hari bersejarah kepada Maxis untuk mengorak satu langkah ke hadapan dengan melancarkan aplikasi baharu, eKelas," katanya ketika berucap padfa majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa di Menara Maxis di sini, pada Khamis.

Menurutnya, aplikasi itu membolehkan pelajar, guru dan ibu bapa mengakses kandungan digital  yang menarik di luar portal eKelas secara mudah dan fleksibel untuk pembelajaran di mana jua.

Menurutnya lagi, versi mudah alih eKelas, aplikasi mudah alih itu turut menawarkan lebih daripada 3,000 kandungan pembelajaran ringkas bagi magta pelajaran teras seperti Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains.

eKelas adalah program komuniti unggul Maxis, sebuah inisiatif pembelajaran digital luar sekolah untuk pelajar Tahun 4 hingga Tingkatan 5, yang membawa pengayaan pembelajaran yang menarik dan menyeronokkan serta akses kandungan digital melalui portal eKelas.

Pendaftaran Maxis eKelas dibuka untuk pelajar, ibu bapa dan guru secara percuma melalui lama web Maxis.