KUALA LUMPUR: Meraque Services Sdn Bhd (Meraque) menandatangani Dokumen Persefahaman (DoU) baru-baru ini dengan syarikat pegangan pelaburan tempatan, Boustead Holdings Berhad (Boustead) untuk mengadakan kerjasama dan penglibatan aktif dalam usaha penerokaan teknologi baharu, terutamanya dalam industri teknologi dron.

Majlis menandatangani DoU telah diadakan pada 26 Mei lepas sempena Majlis Hari Raya Boustead 2022 yang mana pertukaran dokumen dilakukan antara Ketua Pegawai Eksekutif Meraque, Md Razalee Ismail dan Pengarah Urusan Kumpulan Boustead Holdings Berhad, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly.

DoU yang ditandatangani akan membentuk kerjasama dalam perkhidmatan dan projek berkaitan dron yang berpotensi dengan Meraque menawarkan kepakaran teknologinya kepada perniagaan Boustead.

Dengan memanfaatkan kekuatan kedua-dua pihak melalui akses pasaran dan inovasi teknologi, kerjasama itu akan meningkatkan penawaran penyelesaian dan perkhidmatan untuk pasaran Malaysia.

Perkongsian itu juga akan menyaksikan kedua-dua pihak bekerjasama meneroka secara aktif bagi mengenal pasti potensi penggunaan teknologi dron dan kepakaran dalam bidang berkaitan produk seperti dron dan kenderaan darat tanpa pemandu (UGV), penyelesaian perisian (kecerdasan buatan (AI) & sistem) dan teknologi percubaan dron (drone pilot).

Mohammed Shazalli berkata, Boustead Holdings teruja bekerjasama dengan Meraque untuk bersama-sama mencipta dan membina keupayaan teknologi dron bagi kegunaan kumpulan syarikat, termasuk dalam salah satu aspirasinya yang memperjuangkan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) sebagai salah satu nilai penting dalam perniagaan.

“Perkongsian ini juga selaras dengan matlamat kami untuk menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui penyediaan produk dan perkhidmatan yang memberikan faedah kepada alam sekitar, sosial dan ekonomi yang menyumbang ke arah pencapaian SDG.

"Teknologi dron menyediakan banyak faedah yang belum diterokai untuk menyokong matlamat ESG kami seperti mengurangkan pelepasan karbon dioksida [CO2] dengan ketara dan meningkatkan kebolehcapaian kepada produk dan perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Md Razalee pula berkata, dron dan teknologi berkaitannya mempunyai banyak potensi yang menarik untuk digunakan dalam pelbagai bidang dan terbukti ia mampu menjadi 'faktor pengubah' dalam transformasi industri kerana potensi manfaatnya yang tiada tandingan.

"Hari ini, aplikasi teknologi dron semakin digunakan secara meluas, daripada pertanian kepada perubatan sehingga logistik, kerana ia mampu memberikan alternatif yang lebih selamat, murah dan cekap. Ini menjadikan teknologi dron sebagai peluang pasaran yang masih belum diterokai sepenuhnya," katanya.

Katanya, Meraque sangat gembira dapat bekerjasama dengan Boustead untuk meneroka aplikasi daripada teknologi dron yang boleh ditawarkan syarikat itu untuk melengkapi pelbagai perniagaan Kumpulan Boustead dan membuka banyak peluang perniagaan baharu. - DagangNews.com