Ringkasan AI
- Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan Barisan Nasional mendahului Istana Negeri Sembilan dalam pengumuman peletakan jawatan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.
- Ahmad Zahid menegaskan proses peletakan jawatan dilakukan mengikut adat dan tatacara, dengan surat diserahkan kepada beliau sebelum diutuskan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
- Istana Negeri Sembilan menyatakan surat peletakan jawatan belum disahkan ketulenannya dan penyerahan rasmi perlu mendapat perkenan Tuanku sebelum berkuat kuasa.
PUTRAJAYA: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan pihaknya bertindak mendahului Istana Negeri Sembilan berhubung pengumuman peletakan jawatan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.
Tegas Ahmad Zahid, proses berkenaan telah dilakukan mengikut adat dan tatacara selepas surat peletakan jawatan itu diserahkan kepadanya sebelum diutuskan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
“Tidak berniat begitu kerana surat peletakan jawatan itu telah diserahkan kepada saya dan telah diutuskan kepada Kebawah Duli Tuanku.
“Maka ia telah dilakukan melalui kaedah-kaedah yang mematuhi adat dan tatacara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Festival Idea Putrajaya (FOI) 2026, di sini, pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Istana Negeri Sembilan yang memaklumkan pihaknya masih belum mengesahkan ketulenan surat peletakan jawatan Ismail.
Dalam kenyataan pada Selasa, Pengelola Bijaya Diraja memaklumkan surat berkenaan dihantar ke Istana Hinggap, Seremban pada jam 12.16 tengah malam, 17 November, oleh seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai Hamidi daripada firma guaman Shahrul Hamidi & Haziq.
Istana turut menegaskan sebarang peletakan jawatan Menteri Besar perlu dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan baginda.
Menurut kenyataan itu, perkenan untuk Ismail menghadap Tuanku Muhriz telah diberikan lebih awal menerusi makluman WhatsApp pada jam 8.38 malam, 16 November, dengan sesi menghadap ditetapkan pada jam 10 pagi, 20 November ini.
Perkenan tersebut diberikan 80 minit sebelum Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir membuat pengumuman mengenai peletakan jawatan Ismail menerusi Facebook pada jam 10 malam, 16 November.