KUANTAN: Pahang merekodkan jumlah pelaburan asing lebih RM21 billion dalam tempoh dua tahun bermula 2021, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Datuk Mohamad Nizar Najib.

Beliau berkata bidang perkhidmatan serta pembuatan antara sektor yang terlibat pada 2021 dengan pelaburan itu tertumpu di Bentong dan Gebeng di sini, manakala sektor pembuatan, perkhidmatan, penternakan termasuk pelancongan antara tumpuan utama di di Pekan, Kuantan dan Rompin.

Bagi menarik lebih ramai pelabur antarabangsa ke Pahang, beliau berkata kerajaan negeri membuka peluang perbincangan dengan kedutaan asing selain melibatkan agensi kerajaan negeri serta Persekutan iaitu Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

"Selain itu, perbincangan bersama pelabur berpotensi juga giat dijalankan bagi meyakinkan pihak pelabur untuk memilih Pahang sebagai destinasi utama pelaburan.

"Misi pelaburan ke negara yang dikenalpasti juga diadakan bagi meluaskan peluang pelaburan sedia ada, antara kerjasama dari luar negara yang berjaya dicapai berdasarkan inisiatif tersebut adalah New Zealand, Uzbekistan dan China," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Mohamad Nizar berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Andansura Rabu (PN-Beserah) yang ingin tahu jumlah pelaburan asing, agihan pelaburan dan sektor terlibat serta inisiatif kerajaan negeri dalam menarik pelaburan baharu ke Pahang.

Selain itu, beliau turut memaklumkan kerajaan negeri melalui Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) juga telah mewujudkan laman web Invest Pahang dengan memperkenalkan "Location Centric Approach" sebagai usaha mempromosikan peluang pelaburan di Pahang.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff semasa menjawab soalan Hasan Omar (PN-Lanchang) memaklumkan kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan peruntukan berjumlah RM414.29 juta untuk membaiki jalan Persekutuan dan RM200.40 juta bagi jalan negeri.

-- BERNAMA