KUALA LUMPUR: Pelabur asing memulakan minggu pertama 2024 dengan membeli bersih RM524.9 juta ekuiti Malaysia, meneruskan aliran masuk bagi minggu keempat berturut-turut.

MIDF Research berkata, pelabur asing mencatat aliran masuk setiap hari pada minggu lalu kecuali Selasa dengan jualan bersih RM23.3 juta.

Menurut firma penyelidikan itu, aliran keluar tertinggi diperhatikan dalam Inari Amertron Bhd (RM13.6 juta), MyEG Services Bhd (RM10.7 juta) dan Public Bank Bhd (RM7.9 juta).

“Sektor yang mencatatkan aliran masuk asing tertinggi adalah utiliti (RM208.9 juta), perkhidmatan kewangan (RM156 juta) dan hartanah (RM126.9 juta).

“Sementara itu, sektor dengan aliran keluar asing tertinggi adalah teknologi (RM69.4 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM64 juta),serta telekomunikasi dan media (RM16 juta),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Sementara itu, MIDF Research berkata, pelabur institusi tempatan terus menjadi penjual bersih untuk minggu ketiga berturut-turut, dengan jumlah RM141.6 juta.

Sektor perkhidmatan kewangan menyaksikan aliran keluar bersih tertinggi daripada kumpulan pelabur ini berjumlah RM139.7 juta.

Pelabur runcit tempatan pula beralih kepada penjual bersih ekuiti domestik, berjumlah RM383.3 juta, berbanding pembelian bersih sebanyak RM24.3 juta pada minggu sebelumnya.

“Dari segi pergerakan pelabur, terdapat peningkatan yang ketara dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur runcit tempatan (44.8%), pelabur institusi tempatan (22.6%) dan pelabur asing (50.8%),” ulasnya.  - DagangNews.com