KUALA LUMPUR: Pasaran buruh Malaysia meneruskan trend yang bertambah baik memandangkan kadar purata pengangguran dijangka kekal pada 3.4 peratus tahun ini.

Pada 2024, pasaran buruh dijangka terus kukuh disokong oleh momentum yang menggalakkan dalam ekonomi domestik dan pemulihan bagi perdagangan luar, kata MIDF Research.

Dalam nota penyelidikannya pada Jumaat, firma itu berkata kembalinya pekerja bukan warganegara dijangka meningkatkan pekerjaan secara keseluruhannya dan mengurangkan kadar pengangguran.

"Sehingga suku ketiga 2023 (S3 2023), pekerjaan bukan warganegara hampir 0.8 peratus lebih rendah daripada tahap prapandemik.

"Risiko penurunan dalam pasaran buruh Malaysia antara lain adalah disebabkan pemulihan perdagangan luar yang lebih rendah daripada jangkaan dan kejatuhan harga komoditi global," katanya.

Menurut MIDF Research, kadar purata pengangguran pada 2023 ialah 3.4 peratus dan kadar pengangguran kekal pada tahap terendah selepas pandemik iaitu 3.3 peratus pada Disember 2023.

Ia berkata tenaga buruh dan guna tenaga masing-masing meningkat lagi sebanyak 2.0 peratus dan 2.4 peratus manakala pengangguran merosot sebanyak 8.1 peratus dan tenaga buruh luar turun 0.5 peratus.

MIDF Research menjangkakan kekosongan jawatan akan berlegar di antara 100,000-120,000 sebulan pada 2024 di tengah-tengah pemulihan perdagangan luar dan permintaan domestik yang berdaya tahan.

"Kekosongan jawatan di Malaysia direkodkan sebanyak 113,600 pada November 2023. Purata kekosongan jawatan bulanan menurun di bawah paras pasca pandemik iaitu 173,5000 kekosongan dalam tempoh 11 bulan 2023 (2021: 206,700, 2022: 396,100).

"Sebagai perbandingan, purata bulanan sepanjang 2010-2019 ialah sebanyak 114,000 kekosongan jawatan," katanya.

-- BERNAMA