KUALA LUMPUR: Iskandar Malaysia telah mencatatkan RM13.2 bilion pelaburan komited sehingga Jun lalu, dengan sebanyak RM5.9 bilion telah direalisasikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, jumlah yang dicatatkan itu membuktikan pelabur asing semakin yakin untuk melabur di negara ini.

Menurut Perdana Menteri, lebih RM10 bilion bakal dijana oleh pelabur asing di Iskandar Malaysia untuk pembangunan pusat data.

"Pelaburan asing ini akan memberikan pertambahan peluang pekerjaan untuk Keluarga Malaysia. Secara keseluruhannya, lebih 6,000 orang Keluarga Malaysia di wilayah ini telah mendapat manfaat secara langsung daripada semua inisiatif sosioekonomi yang telah dijalankan.

"Dalam pada itu, Pihak Berkuasa Wilayah Iskandar Malaysia (IRDA) turut merangka Strategi Pertanian Moden dalam mengukuhkan agenda Sekuriti Makanan.

"Pembangunan teknologi 5G yang merupakan komponen sokongan utama Pertanian Moden disegerakan di Kawasan Iskandar Malaysia bagi menangani isu bekalan makanan dalam negara," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Perdana Menteri menjelaskan, pertanian Moden Iskandar Malaysia ini bakal menjenamakan IRDA sebagai “Agrifood Hub” Malaysia.

Jelas beliau, IRDA juga sedang merangka Draf Pelan Pembangunan Komprehensif Iskandar Malaysia 2022 – 2030 yang bakal menjadikan wilayah ini sebagai salah satu tunjang utama menjana ekonomi negara.