Skip to main content

Sukan

Hakim Danish jadi tarikan, 80 peratus tiket MotoGP Malaysia 2026 terjual

Pencapaian Hakim Danish menaiki podium dan meraih kemenangan pada musim pertamanya dalam kejuaraan dunia itu merupakan detik bersejarah yang membanggakan negara. - Gambar fail
Pencapaian Hakim Danish menaiki podium dan meraih kemenangan pada musim pertamanya dalam kejuaraan dunia itu merupakan detik bersejarah yang membanggakan negara. - Gambar fail

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 80 peratus tiket bagi Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) telah habis dijual, mencerminkan sambutan menggalakkan daripada peminat terhadap penampilan sulung pelumba negara, Hakim Danish Ramli, di laman sendiri dalam saingan Moto3.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, berkata pencapaian Hakim Danish menaiki podium dan meraih kemenangan pada musim pertamanya dalam kejuaraan dunia itu merupakan detik bersejarah yang membanggakan negara.

Beliau turut menggesa peminat sukan permotoran tempatan, termasuk mereka yang bukan peminat tegar, supaya hadir beramai-ramai ke litar bagi memberikan sokongan kepada pelumba muda berbakat itu.

“Pada tahun pertamanya, Hakim Danish telah menunjukkan prestasi yang sangat baik. Sebelum ini, kita tahu bukan mudah untuk menaiki podium, namun beliau telah membuktikan kemampuannya dan malah meraih kemenangan.

“Ini merupakan tahun yang istimewa kerana kita mempunyai Hakim Danish. Saya berharap semua peminat dan orang ramai datang ke SIC untuk memberikan sokongan kepada bakat tempatan kita yang akan beraksi dalam kategori Moto3,” katanya pada sidang media MotoGP Malaysia 2026 di sini hari ini.

Hakim Danish, pelumba kelahiran Terengganu, mencipta sejarah apabila menduduki tempat ketiga pada GP Itali pada 1 Jun lepas sebelum muncul juara GP Czechia pada 22 Jun.

Azhan Shafriman bagaimanapun mengakui prestasi pelumba muda itu sedikit tidak konsisten musim ini, namun berharap beliau dapat kembali menemui rentak terbaik dalam baki perlumbaan.

“Dari segi prestasi, beliau mengalami sedikit turun naik tahun ini. Saya berharap beliau dapat bangkit pada separuh kedua musim ini dan memberikan saingan dalam perlumbaan yang masih berbaki,” katanya.

Beliau berkata SIC menyasarkan kehadiran 200,000 penonton sepanjang MotoGP Malaysia 2026, selain menawarkan kemasukan percuma ke kawasan litar dan persekitarannya pada Jumaat bagi menggalakkan lebih ramai peminat hadir lebih awal.

Tahun lepas, GP Malaysia mencatatkan kehadiran 190,977 penonton sepanjang tiga hari acara perlumbaan.

Mengenai kemudahan parkir, beliau berkata SIC akan berusaha mengekalkan kadar caj seperti tahun lepas, manakala motosikal dibenarkan memasuki kawasan litar.

MotoGP Malaysia 2026 dijadual berlangsung di SIC dari 30 Okt hingga 1 Nov ini, sekali gus menandakan tahun ke-35 penglibatan Malaysia dalam kejohanan MotoGP sejak 1991. SIC mula menjadi tuan rumah perlumbaan itu pada 1999.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement