KUALA LUMPUR: Tinjauan yang dijalankan oleh platform pembayaran digital telah mendedahkan penurunan sebanyak 9.0 peratus dalam penggunaan kad kredit dalam kalangan pengguna platform, menunjukkan peralihan daripada pilihan kredit konvensional.

Kaji selidik itu dijalankan oleh SeaMoney, ia adalah sebahagian daripada Sea Group dengan 25,000 pengguna aktif untuk mendapatkan maklumat mengenai peranan penyelesaian Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL), SPayLater sebagai penyelesaian kewangan alternatif.

SPayLater memberi pengguna fleksibiliti pembayaran dengan membuat pembelian segera dengan pelan pembayaran yang fleksibel, kata satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Kaji selidik pada suku pertama 2023 SPayLater turut mendedahkan kemerosotan sebanyak 47 peratus dalam pinjaman daripada rakan dan keluarga yang berpendapat bahawa pengguna beralih kepada perkhidmatan BNPL seperti SPayLater.

Selain itu, tinjauan itu juga mendedahkan penurunan 43 peratus di kedai pajak gadai dan berkurangan sebanyak 20 peratus dalam mendapatkan perkhidmatan daripada syarikat pemberi pinjaman wang (PPW) berlesen.

Ketua ShopeePay dan SeaMoney, Malaysia Alain Yee berkata kumpulan berpendapatan berbeza mendapat manfaat daripada perkhidmatan BNPL.

Shopee adalah sebahagian daripada Sea Group.

"Golongan berpendapatan rendah hingga sederhana menggunakan BNPL kerana mudah atau pembelian terancang, manakala kelas pertengahan menyukainya kerana fleksibel dalam menguruskan perbelanjaan yang tidak dijangka.

"Pengguna berpendapatan tinggi meneroka saluran kewangan alternatif tanpa menjejaskan kredit mereka. Penggunaan berkenaan membawa kami memahami tabiat kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia," kata Yee dalam kenyataan itu.

Dalam pada itu, kenyataan itu berkata penurunan dalam pinjaman peribadi mencerminkan peralihan daripada bantuan kewangan yang kurang terkawal.

Sementara itu, sehingga 88.2 peratus berpuas hati dengan penyelesaian BNPL SPayLater dan 81.9 peratus mengesyorkan perkhidmatan tersebut kepada orang lain manakala 24.5 peratus berkata sebab utama mereka menggunakan perkhidmatan itu kerana perkhidmatan SPayLater adalah mudah.

-- BERNAMA