ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Khamis, 20 Ogos 2026.
1. Kes Rocky: Tiada perkataan 'membunuh' dalam pertuduhan, netizen dituntut mohon maaf - Peguam
Peguam mewakili lelaki dalam insiden kekecohan operasi penangkapan anjing liar baru-baru ini menegaskan bahawa tiada sebarang unsur pembunuhan atau penyeksaan kejam seperti yang didakwa dan ditularkan di media sosial.
2. Nahas tiga beranak maut: Pemandu 'Black Maria' Imigresen digantung tugas
Pemandu lori Jabatan Imigresen Malaysia yang disiasat berkenaan kes kemalangan maut yang mengorbankan tiga beranak di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur telah digantung tugas.
3. JustGo diaktifkan di seluruh Lebuhraya PLUS, bayar tol guna pengecaman nombor plat
PLUS memperluaskan sistem pembayaran tol JustGo di seluruh Lebuhraya Utara-Selatan, membolehkan bayaran menggunakan pengecaman nombor plat sebagai alternatif kepada TnG, SmartTAG dan RFID.
4. PM Anwar arah pindaan undang-undang e-dagang dipercepat, sasar lulus awal Oktober
Kerajaan akan mempercepatkan proses pindaan rangka kerja undang-undang berkaitan e-dagang bagi memastikan ekosistem perniagaan digital negara lebih selamat, teratur dan mesra usahawan.
5. Nahas lori Imigresen: Lampu amaran, siren bukan lesen langgar lampu merah - JSPT
Penggunaan lampu amaran atau siren tidak memberi hak eksklusif lalu lintas kepada mana-mana kenderaan untuk mengabaikan lampu isyarat merah atau mengetepikan keselamatan pengguna jalan raya lain.
6. 'Siasat jika ada langgar tatakelola di anak syarikat Khazanah' - Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya siasatan dijalankan terhadap sebuah syarikat yang ditubuhkan sejak 2012 di bawah Khazanah Nasional susulan wujud keraguan berkaitan aspek tatakelola.
7. Kes rasuah berkaitan REE: Bekas Setiausaha Politik MB Kedah diperintah bela diri
Mahkamah Sesyen pada Khamis memerintahkan bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Mohamad Hilmi Abdul Wahab membela diri atas pertuduhan meminta dan menerima suapan berkaitan projek perlombongan unsur nadir bumi (REE) di negeri itu, tiga tahun lepas.
8. Berita baik menanti belia, termasuk golongan OKU, autisme, kesihatan mental - PM
Kerajaan dijangka mengumumkan satu atau dua inisiatif penting untuk golongan belia menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.
9. Bekas CEO 1MDB tidak tahu sebab dakwaan terhadapnya berubah
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau tidak mengetahui sebab dakwaan syarikat itu terhadapnya berubah dalam saman berasingan yang difailkan pada Ogos 2021.
10. 'Reformasi Madani gagal capai sasaran, punca utama saya tinggalkan PKR' - Wong Chen
Kekecewaan terhadap kelembapan pelaksanaan agenda reformasi menjadi faktor utama di sebalik keputusan Wong Chen meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan melepaskan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Subang.