KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan perumahan dan komersial di sekitar Cheras, Selangor mengalami gangguan bekalan elektrik secara tiba-tiba lewat malam Khamis.
Menurut notis rasmi yang dikeluarkan oleh TNB CareLine, pasukan teknikal Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan kerja-kerja membaik pulih bekalan elektrik dengan segera.
"Gangguan bekalan elektrik sedang berlaku di beberapa kawasan sekitar Cheras, Selangor.
"Pasukan teknikal kami sedang berada di lokasi untuk melakukan kerja-kerja membaik pulih bekalan elektrik. Kesabaran anda amat kami hargai dan segala kesulitan amat dikesali," jelas TNB CareLine menerusi kenyataan ringkas di laman sosial rasminya.
Tinjauan di media sosial mendapati antara kawasan yang terjejas termasuk Bandar Tun Hussein Onn (BTHO) khususnya di Jalan Suasana, Taman Megah Cheras, Taman Seri Minang serta kawasan sekitar stesen MRT Sri Raya.
Bagaimanapun, beberapa penduduk melaporkan bekalan elektrik di sebahagian kawasan seperti Metro Cheras dan blok apartmen berhampiran MRT Sri Raya telah mula pulih secara berperingkat tidak lama selepas itu.
Dalam pada itu, pihak TNB menasihatkan para pengguna agar sentiasa berhati-hati ketika mengendalikan peralatan elektrik sepanjang tempoh gangguan kerana bekalan elektrik berkemungkinan dipulihkan pada bila-bila masa.