Skip to main content

Bisnes

Pergerakan penumpang KLIA meningkat 14.4 peratus kepada 16.9 juta pada suku pertama

41731761808_KLIASepang.jpg
Pada Mac, lapangan terbang tempatan mengendalikan sebanyak 9.1 juta pergerakan penumpang, dengan 5.6 juta daripadanya melalui KLIA. - Gambar/ Bernama

PUTRAJAYA: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mencatatkan pertumbuhan yang kukuh di seluruh rangkaian tempatannya pada suku pertama 2026, dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) merekodkan 16.9 juta pergerakan penumpang, naik 14.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

MAHB dalam kenyataan hari ini berkata, pada Mac, lapangan terbang tempatan mengendalikan sebanyak 9.1 juta pergerakan penumpang, dengan 5.6 juta daripadanya melalui KLIA manakala bagi tempoh Hari Raya Aidilfitri bermula 14 hingga 29 Mac menyaksikan lebih 3.1 juta penumpang menggunakan lapangan terbang itu.

Advertisement

Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani berkata pertumbuhan berterusan di seluruh rangkaian itu menunjukkan kepentingan lapangan terbang Malaysia yang semakin meningkat sebagai pintu masuk serantau.

“Keutamaan kami adalah untuk mengekalkan momentum ini dengan kapasiti yang tepat, operasi yang lancar dan penambahbaikan bersasar di lapangan bagi memastikan kami kekal berdaya saing dan pada masa sama membuka lebih banyak peluang pertumbuhan untuk Malaysia,” katanya.

Menurut MAHB, pada bulan yang sama, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) mencatat peningkatan 11 peratus jumlah penumpang antarabangsa daripada 371,601 pada Februari kepada 412,958.

Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI) merekodkan peningkatan dua peratus jumlah penumpang domestik daripada 541,248 pada Februari kepada 551,049.

Menurutnya perkembangan itu menyumbang kepada jumlah keseluruhan sebanyak 27.4 juta pergerakan penumpang di seluruh rangkaian tempatan pada suku pertama.

“Anak syarikat antarabangsa milik penuh MAHB, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISGIA) merekodkan 11.7 juta penumpang pada suku pertama 2026 iaitu peningkatan 12 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas,” katanya.

Sementara itu, menurut pengendali lapangan terbang itu, penambahbaikan berterusan terhadap kemudahan dan perkhidmatan lapangan terbang sedang dilaksanakan bagi meningkatkan keselesaan penumpang dan kecekapan operasi di seluruh rangkaiannya.

Di KLIA, pemasangan hiasan berskala besar yang diinspirasikan daripada bentuk ketupat menceriakan suasana perayaan di terminal, dengan gabungan identiti budaya dan reka bentuk moden.

Lapangan terbang serantau turut menjalani penambahbaikan, dengan Langkawi (LGK) dan Kuching (KCH) memperkenalkan bilik penjagaan bayi yang ditambah baik manakala Alor Setar (AOR), Kuantan (KUA), Labuan (LBU) dan Lahad Datu (LDU) turut mempunyai kaunter daftar masuk yang dinaik taraf.

Menurut MAHB, penambahbaikan operasi turut diperkenalkan untuk melancarkan aliran penumpang termasuk perkhidmatan daftar masuk bagasi awal bagi penumpang Malaysia Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, yang memberikan lebih fleksibiliti serta pengalaman sebelum berlepas yang lancar.

Seiring dengan usaha ini, menurutnya kesalinghubungan di seluruh rangkaian terus berkembang pada Mac dengan penambahan tiga syarikat penerbangan antarabangsa baharu iaitu AeroDili dari Timor-Leste, Air Algerie dari Algeria dan Chongqing Airlines dari China.

Menurut MAHB laluan baharu yang diperkenalkan termasuk Nanjing-Kuala Lumpur, Chongqing-Kota Kinabalu, Wuxi-Kuala Lumpur, Batam-Kuala Lumpur, Phuket-Pulau Pinang, Guiyang-Kuala Lumpur, Guiyang-Kuching, Colombo-Kuala Lumpur dan Yangzhou-Kuala Lumpur.

"Di Pulau Pinang, pengenalan laluan Qingdao-Pulau Pinang mengukuhkan lagi kesalinghubungan langsung lapangan terbang ke China di samping melengkapkan perkhidmatan sedia ada dalam rangkaian Malaysia," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video