KUALA LUMPUR: Keupayaan forensik kecerdasan buatan (AI) wajar diperkasakan menerusi Belanjawan 2027 merangkumi peningkatan kapasiti makmal, teknologi serta kepakaran modal insan bagi membanteras ancaman jenayah siber yang kian canggih.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata sektor penguatkuasaan dan penyiasatan perlu disiap siagakan dengan makmal forensik AI bertaraf terkini bagi memantau dan mendepani modus operandi jenayah berasaskan AI yang semakin membimbangkan.
“Ancaman deepfake memerlukan makmal forensik AI untuk mengenal pasti kandungan dan serangan siber yang dijana AI, termasuk membezakan antara kandungan yang tulen dan yang telah dimanipulasi.
“Saya yakin di peringkat CyberSecurity Malaysia yang kini bersama Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) mungkin sudah ada kemudahan atau keupayaan berkenaan. Sejauh mana, saya tidak pernah tengok atau menerokainya tetapi saya difahamkan memang ada,” katanya ketika dihubungi Bernama TV baru-baru ini.
Beliau berkata pendekatan sekadar kempen kesedaran sedia ada kini tidak lagi memadai bagi membendung ancaman siber, terutamanya penipuan dalam talian (scam) yang semakin kompleks seiring kepesatan teknologi.
Sehubungan itu, Siraj menyarankan penilaian keselamatan siber secara formal dilaksanakan bagi mengukur kesedaran rakyat dan mengenal pasti jurang pengetahuan, sekali gus membolehkan kerajaan merangka strategi pendidikan serta intervensi yang lebih tepat mengikut ancaman semasa.
“Ia sama ada kerajaan meletakkannya dalam dasar di bawah Kementerian Pendidikan ataupun kerajaan memberikan mandat kepada agensi keselamatan siber untuk melaksanakan modul pendidikan khas berkaitan keselamatan siber.
“Maksudnya, perlu ada satu proses yang wajib dilalui oleh semua rakyat Malaysia untuk mengukur tahap keselamatan kita ketika menggunakan Internet,” katanya.
Beliau berkata evolusi teknologi AI kini dimanfaatkan penjenayah siber menerusi penipuan deepfake dan tiruan suara yang semakin sukar dikesan.
Berdasarkan Laporan Penipuan Pengguna ASEAN GSMA 2026, sebanyak 96 peratus pengguna di enam pasaran Asia Tenggara yang dikaji menyatakan kebimbangan tinggi terhadap risiko menjadi mangsa penipuan atau pencerobohan akaun peribadi.
Siraj berkata dapatan berkenaan menunjukkan cabaran negara kini bukan lagi sekadar memastikan rakyat mengetahui kewujudan scam, sebaliknya memastikan mereka mempunyai ilmu dan kemahiran untuk bertindak apabila berdepan ancaman.
Selain itu, beliau berkata Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) perlu diberi peruntukan tambahan serta perhatian wajar, khususnya dalam aspek kebajikan anggota yang berdepan tekanan kes penipuan dalam talian.
Pada masa sama, kerajaan juga perlu mempercepatkan pembangunan perundangan khusus berkaitan AI, termasuk satu akta induk yang menetapkan tatakelola penggunaan teknologi itu merentas sektor.
“Jadi, adakah kita mempunyai kesiapsiagaan sekiranya ada sistem dalam negara kita yang diceroboh menggunakan AI? Adakah kesiapsiagaan itu sudah ada?
“Sebab itu saya berharap Belanjawan 2027 dimulakan dan ditekankan melalui pembentangan di Dewan Rakyat sebagai manifestasi bahawa kerajaan menggalakkan orang ramai menggunakan AI, pada masa sama mempunyai kesediaan dari sudut keselamatan sekiranya berlaku masalah, termasuk menyediakan makmal forensik AI yang berkeupayaan tinggi,” katanya.
Belanjawan 2027 akan dibentangkan di Parlimen pada 9 Okt ini.
-- BERNAMA