BUSINESS
Persekitaran perniagaan bagi sektor swasta masih boleh ditambah baik - Bank Dunia

Apurva berkata, bidang yang sedang dipertimbangkan antaranya termasuk mewujudkan persekitaran sama rata bagi sektor tidak formal dan meningkatkan akses kepada pembiayaan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Terdapat banyak ruang untuk menaik taraf persekitaran perniagaan bagi sektor swasta di Malaysia, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi.
Beliau berkata, bidang yang sedang dipertimbangkan termasuk mewujudkan persekitaran sama rata bagi sektor tidak formal, meningkatkan akses kepada pembiayaan, memperkemas proses kastam, mengurangkan beban pematuhan dan membendung amalan rasuah.
Apurva menggariskan halangan utama dalam persekitaran perniagaan domestik, iaitu persaingan tidak adil dengan sektor tidak formal, akses kepada pembiayaan yang lebih rendah (65 peratus pembiayaan sendiri, hanya 25 peratus menggunakan bank/ekuiti) dan kadar cukai.
"Tetapi halangan itu adalah berbeza mengikut saiz firma," katanya menerusi akaun X miliknya pada Khamis.Selain itu, beliau berkata, ia merupakan hasil tinjauan yang dijalankan oleh Bank Dunia antara Januari 2024 dan Mac 2025 membabitkan 979 firma formal dan swasta.
Katanya, proses mendapatkan kelulusan kastam di Malaysia bagi urusan eksport mengambil masa 13 hari berbanding sembilan hari iaitu purata di peringkat serantau dan 15 hari bagi import berbanding purata serantau selama 11 hari.
Walaupun mengakui prosedur kerajaan Malaysia lebih baik berbanding purata serantau, Apurva berkata, pengurusan kanan syarikat tempatan masih menghabiskan empat peratus masa mereka untuk memastikan pematuhan terhadap peraturan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami