Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) tahun ini memperuntukkan hampir RM18.2 juta untuk pembangunan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS), kata pengerusi Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Daripada jumlah itu, RM11.5 juta adalah untuk pelaksanaan Kompleks Perniagaan di Kubang Menerong, Seberang Perai dan RM5 juta bagi melaksanakan Skim Sokongan Usahawan Pertengahan Bumiputera Pulau Pinang 2012/13.

Selain itu, sejumlah RM1.5 juta diperuntukkan bagi projek pembangunan Bengkel Pandai Besi dan peruntukan hampir RM200 ribu untuk promosi produk usahawan ke luar negara.

Nor Mohamed yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata inisiatif itu juga untuk meningkatkan sumbangan IKS kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara yang masih rendah berbanding negara membangun seperti Korea Selatan yang mencatat lebih 80 peratus.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis pelancaran skim sokongan pembangunan usahawan pertengahan Bumiputera Pulau Pinang 2012/13 dan penyerahan surat bantuan geran sokongan kepada 38 syarikat, di sini Ahad.