Skip to main content

Bisnes

Petronas catat tiga kejayaan baharu di Blok 52 Suriname

41756778035_Petronas.jpg
Pencapaian berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan kejayaan Petronas di negara Suriname kepada lapan telaga yang berjaya. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas), melalui anak syarikat milik penuhnya Petronas Suriname E&P B.V. (PSEPBV), mencatatkan dua penemuan baharu dan berjaya melaksanakan penilaian medan di Blok 52 luar pesisir Suriname.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat minyak dan gas negara itu menyatakan pencapaian berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan kejayaannya di negara tersebut kepada lapan telaga yang berjaya, yang secara kolektif membuka potensi sumber boleh diperoleh semula melebihi satu bilion tong setara minyak.

Telaga penerokaan Caiman-1, yang digerudi di kawasan kedalaman air 90 meter hingga kedalaman keseluruhan 5,065 meter, menemui beberapa lapisan batu pasir Zaman Kapur (Cretaceous) yang mengandungi minyak.

Telaga penerokaan Swartzia Aspasia Complex-1 (SAC-1), yang terletak lapan kilometer (km) ke timur dari penemuan gas Sloanea-1 di kawasan kedalaman air 610 meter dan digerudi sehingga jumlah kedalaman 4,560 meter, telah menemui takungan batu pasir yang mengandungi gas.

Ujian penggerudian (DST) menunjukkan keupayaan pengeluaran gas yang kukuh, sekali gus menandakan kualiti takungan yang baik, menurut syarikat itu.

Telaga penilaian Roystonea-2, yang digerudi tujuh km ke utara dari Roystonea-1, mengesahkan keluasan lateral takungan yang mengandungi minyak, dengan keputusan DST menunjukkan produktiviti minyak yang kukuh, sekali gus mengesahkan lagi kualiti dan keluasan sistem takungan berkenaan.

Petronas mengendalikan Blok 52 dengan 80 peratus kepentingan, manakala baki 20 peratus lagi dipegang oleh Paradise Oil Company N.V. (POC), iaitu anak syarikat milik penuh Staatsolie Maatschappij Suriname N.V. (Staatsolie).

Petronas kini memegang kepentingan dalam lapan blok luar pesisir di Suriname iaitu Blok 9, 10, 48, 52, 53, 63, 64 dan 66.

Ketua Pegawai Operasinya, yang juga merupakan Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluannya, Mohd Jukris Abdul Wahab berkata lapan telaga yang berjaya di Suriname, dengan sumber boleh diperoleh semula melebihi satu bilion tong setara minyak, mencerminkan kekuatan keupayaan teknikal syarikat, pelaksanaan yang berdisiplin dan perkongsian yang kukuh di Suriname.

"Blok 52 terletak di dalam koridor yang berpotensi tinggi, iaitu 'Golden Lane' dan kami kekal fokus untuk menukar asas sumber ini kepada nilai jangka panjang bagi Suriname dan juga Petronas.

"Kami berterima kasih kepada Staatsolie di atas sokongan dan kerjasama mereka dalam memacu kemajuan kami di negara ini," kata beliau.

Mohd Jukris berkata Petronas kekal komited terhadap aspirasi Suriname yang lebih luas untuk membina keupayaan tempatan, membangunkan modal insan dan mencipta nilai bersama demi kepentingan kedua-dua negara.

Syarikat itu memaklumkan kejayaan ini dibina berasaskan pengisytiharan kebolehkomersialan medan gas Sloanea pada November 2025, dengan keputusan pelaburan muktamad bagi pembangunannya disasarkan menjelang akhir tahun ini.

Ia menambah kejayaan itu juga terus memperkukuh asas bagi beberapa projek pembangunan minyak dan gas di Blok 52, serta kemunculan Suriname sebagai hab laut dalam yang penting di lembangan Suriname-Guyana.

--BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement