Kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia amat positif terhadap unjuran perniagaan bagi tempoh separuh pertama tahun ini, demikian menurut Indeks Keyakinan Perniagaan pertama RAM Holdings Bhd (RAM) yang diumumkan hari ini.

Pakar Ekonomi RAM Ratings Services Bhd, Kristina Fong berkata satu hasil kaji selidik mengenai sentimen perniagaan dalam kalangan PKS dan korporat dalam lima sektor utama industri bagi separuh pertama 2017 turut menunjukkan permulaan yang optimis bagi tahun ini.

Sektor yang ditinjau itu membabitkan peruncitan, pembinaan, perkhidmatan perniagaan, pengangkutan dan penyimpanan serta perusahaan.

Korporat pula merangkumi syarikat bergiat dalam perusahaan, pembinaan, borong, pertanian, perlombongan, pengangkutan dan penyimpanan.

"Indeks Keyakinan Perniagaan RAM untuk korporat pula mencatat sentimen positif lebih tinggi iaitu pada paras 56.9 berbanding 53.2 dicatatkan PKS.

"Kedua-duanya turut melepasi paras petunjuk utama sebanyak 50," katanya pada taklimat media mengenai indeks berkenaan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fong berkata unjuran lebih positif dipaparkan sektor korporat itu boleh dikaitkan dengan jangkaan peningkatan aktiviti dagangan susulan pemulihan dicatatkan di Amerika Syarikat serta permintaan dari China.

Malah, catatan lima sektor yang melepasi paras penanda aras 50 juga menunjukkan sentimen optimis korporat Malaysia bagi tempoh enam bulan akan datang.

Ini termasuk segmen perusahaan yang merupakan sektor utama ekonomi dengan mencatatkan sentimen positif secara ketara sebanyak 56.5.

Hasil kaji selidik itu sejajar PKS ketika syarikat-syarikat berkemungkinan menjangkakan pemulihan permintaan luar beserta sokongan berterusan daripada permintaan domestik.

Selain itu, sentimen kurang positif dikaitkan dengan sektor borong yang mencatat angka 54 berikutan kelemahan permintaan domestik akibat peningkatan kos sara hidup dan persekitaran buruh yang lembap pada 2016.

"Biarpun pemulihan permintaan terhadap barangan tahan lama tidak dijangkakan dalam masa terdekat ini, kegiatan borong domestik itu seharusnya kukuh didorong oleh perbelanjaan keperluan yang berterusan," katanya.

Bagi PKS, hasil kaji selidik RAM menunjukkan sektor paling optimis adalah perusahaan dengan catatan indeks 54.1, diikuti pembinaan 53.8 kerana jangkaan pengukuhan aktiviti eksport tahun depan serta kerja-kerja infrastruktur awam yang berterusan.

Secara amnya, Fong berkata PKS kurang berminat dengan usaha pengembangan perniagaan dan pelaburan modal bagi separuh pertama tahun ini berbanding rakan korporat masing-masing, susulan persekitaran ekonomi yang mencabar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif RAM Holdings, Datuk Seri Dr K Govindan berkata kaji selidik membabitkan 3,000 responden PKS dan korporat itu menjadikan Indeks Keyakinan Perniagaan RAM berkenaan sebagai sentimen perniagaan yang paling komprehensif di Malaysia.

"Ini boleh dijadikan sebagai petunjuk berguna untuk mengenal pasti pergerakan ekonomi dan paling penting haluannya dalam masa terdekat ini.

"Kami berhasrat untuk mewujudkan indeks keyakinan perniagaan bagi tempoh setiap suku. Ia sepatutnya bertindak sebagai petunjuk utama positif iaitu memaparkan petunjuk yang bukan hanya bermanfaat untuk masyarakat perniagaan, tetapi turut membolehkan penggubal dasar memahami persepsi prospek ekonomi dari sudut masyarakat perniagaan," katanya.

Beliau turut menyifatkan indeks keyakinan perniagaan secara keseluruhannya bagi kedua-dua sektor korporat dan PKS menunjukkan prospek ekonomi yang baik bagi enam bulan akan datang.

"Sentimen perniagaan tempatan secara ketaranya dipacu oleh projek infrastruktur dan pembangunan hartanah besar-besaran yang sedang dijalankan.

"Kedua-dua sektor korporat dan PKS turut positif dari segi pengambilan pekerja yang memperkukuhkan hakikat tiada sebarang kelembapan ketara dalam pasaran sumber manusia di negara ini.

"Apa juga langkah pembuangan pekerja adalah terhad kepada perkhidmatan minyak dan gas serta kewangan," kata Govindan. -- Bernama