PKS perlu guna teknologi baharu perkukuh kedudukan di rantaian bekalan global - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul berkata penggunaan AI boleh memastikan kualiti yang konsisten dan mengurangkan pembaziran sekali gus menjadikan PKS sebagai pembekal boleh dipercayai dalam rantaian bekalan elektrik dan elektronik global. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu memanfaatkan teknologi baharu untuk memperkukuh kedudukan mereka dalam rantaian bekalan global, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Dalam ucapan penutup pada Persidangan Ekonomi PKS ASEAN hari ini beliau berkata teknologi ini termasuk kecerdasan buatan (AI), robotik dan automasi, pengkomputeran kuantum, Internet Pelbagai Benda (IoT) serta Generatif AI dan Kembar Digital.
Menurutnya penerimagunaan teknologi ini membolehkan PKS meningkatkan produktiviti, kecekapan dan daya saing, seterusnya membolehkan mereka menyertai pasaran global dengan lebih lancar.
"Kami mahu PKS menjadi kukuh dalam perjalanan ini. Oleh itu, bagaimana PKS boleh memanfaatkan AI? Bagaimana mereka boleh menggunakan robotik, pengkomputeran kuantum?"Kami memerlukan PKS menambah baik proses mereka supaya boleh menyertai rantaian bekalan global dengan lebih lancar, serta lebih berjaya dalam memasarkan perkhidmatan," katanya.
Tengku Zafrul berkata penggunaan AI boleh memastikan kualiti yang konsisten dan mengurangkan pembaziran sekali gus menjadikan PKS sebagai pembekal boleh dipercayai dalam rantaian bekalan elektrik dan elektronik global.
Sementara itu, beliau berkata robotik dan automasi pula mampu meningkatkan kelajuan, ketepatan dan pengalaman pelanggan, membolehkan PKS untuk berkhidmat dengan lebih cekap kepada pelanggan korporat multinasional.
"Walaupun pengkomputeran kuantum masih dalam peringkat awal bagi PKS, terdapat platform sedia ada yang menawarkan penjadualan pintar dan alat pengoptimuman sumber.
"Langkah ini membantu PKS mensimulasikan senario pengeluaran dan menyesuaikan dengan cepat terhadap gangguan rantaian bekalan.
"Selain itu, terdapat PKS dalam bidang reka bentuk dan prototaip yang menggunakan Generatif AI untuk menghasilkan contoh produk, mensimulasikan prestasi dan menjana aset pemasaran," kata beliau.
Pada majlis yang sama, Tengku Zafrul dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick merasmikan pelancaran strategi berteraskan digital CIMB OCTO Biz.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan CIMB Novan Amirudin pada sidang media kemudiannya berkata strategi berkenaan memperkukuh peranan CIMB sebagai rakan kongsi perbankan yang dipercayai dan pemangkin kepada pengembangan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
"Kami melihat perbankan sebagai pengupaya strategik kepada pertumbuhan, transformasi dan keterangkuman kewangan. Fokus kami untuk melengkapkan perniagaan dan komuniti dengan keupayaan dan pandangan yang diperlukan untuk mengharungi persekitaran ekonomi yang dinamik.
"Pelancaran CIMB OCTO Biz mengukuhkan komitmen ini melalui penyediaan penyelesaian kewangan yang selamat, lancar, inklusif dan bersedia untuk masa depan yang menyokong pengembangan perniagaan mampan di seluruh ASEAN dan di luarnya," katanya.
Sehingga kini, lebih separuh daripada pelanggan PKS CIMB telah menggunakan OCTO Biz, dengan merekodkan nilai transaksi sebanyak RM17 bilion menerusi tujuh juta transaksi pada 2025 sekali gus menunjukkan peningkatan penggunaan dan kepentingannya dalam kalangan perniagaan.
CIMB turut melancarkan SME FlexiCash/-i, produk pinjaman berasaskan hasil yang menganalisis sejarah akaun dan trend transaksi untuk memberi had pembiayaan prakelayakan serta-merta kepada perniagaan, dengan mengurangkan proses pentadbiran dalam permohonan pinjaman tradisional.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami