BUSINESS
PM Anwar, Putin suarakan hasrat bersama perkukuh perdagangan, pelaburan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) bersama Presiden Rusia Vladimir Putin ketika mengadakan sidang media bersama sejurus mesyuarat delegasi selesai di Kremlin Moscow pada Rabu. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Rusia menyatakan hasrat bersama untuk memperkukuh perdagangan dan pelaburan sekali gus menandakan lembaran baharu dalam hubungan dua hala Malaysia-Rusia yang semakin berkembang.
Ringkasan AI
- Malaysia dan Rusia bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, serta bidang seperti AI, semikonduktor, aeroangkasa dan TVET.
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan sokongan terhadap sistem multilateral dan menolak tindakan unilateral yang mengganggu keamanan global.
- Rusia merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah, dengan jumlah dagangan bernilai RM11.46 bilion pada 2024.
Perdana Menteri menyambut baik sokongan Rusia dalam sektor utama seperti latihan; aeroangkasa; sains, teknologi dan inovasi (STI); Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET); pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI).
"Kami berterima kasih kerana Presiden Putin menganggap Malaysia sebagai rakan yang dipercayai dan sebagai sebuah negara dengan sokongan sedemikian boleh dihulurkan," kata beliau.
Anwar menyatakan minat Malaysia untuk bekerjasama dengan Rusia dalam bidang semikonduktor dan AI, memandangkan kepentingan sektor itu bagi memacu pertumbuhan ekonomi masa hadapan.
Beliau berkata kedua-dua pemimpin juga telah membincangkan isu antarabangsa yang lebih luas dan menekankan kepentingan sistem multilateral berasaskan peraturan.
"Kita tidak menyokong tindakan unilateral oleh mana-mana negara, kerana tindakan sedemikian menganggu keamanan dan keselamatan, sama ada di rantau kita atau di peringkat global," kata beliau.
Putin pula berkata: "Kami memberi keutamaan kepada pembangunan seterusnya dalam perdagangan dan pelaburan", merujuk kepada skop kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.
Pada 2024, Rusia ialah rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah dengan jumlah dagangan mencecah RM11.46 bilion (US$2.48 bilion).
Eksport utama Malaysia ke Rusia termasuk produk elektrik dan elektronik, jentera, peralatan dan alat ganti, serta makanan yang diproses.
Import dari Rusia terutama terdiri daripada produk petroleum, mineral serta kimia dan produk berasaskan kimia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami