KAJANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau baru sahaja menerima laporan berhubung laporan berita mengenai firma Jepun yang didakwa membuat keputusan membatalkan rancangan untuk terbabit dalam projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

“Saya baru menerima laporan,” jawabnya ringkas.

Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid al-Hijrah di Desa Pinggiran Putra, Kajang.

Projek HSR: Saya baru terima laporan - PM


Terdahulu, agensi berita Kyodo News pada Khamis melaporkan, firma Jepun telah mengambil keputusan untuk menarik diri daripada Projek Keretapi Berkelajuan tinggi (HSR) yang akan menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura.

Dengan penarikan diri syarikat Jepun, pembangunan HSR itu dilihat bakal memberi ruang yang lebih luas kepada syarikat China untuk memperkukuhkan lagi tapak mereka dalam pembinaan infrastruktur di Asia Timur, selepas mereka selesai membina laluan keretapi berkelajuan tinggi di Indonesia, dan kini sedang membida untuk projek yang sama di Thailand.

Menurut laporan media sebelum ini, 15 Januari depan adalah tarikh akhir untuk syarikat yang berminat membuat pembidaan, yang prosesnya telah dimulakan kerajaan Malaysia pada Julai 2023.

Malaysia dan Singapura sebelum ini telah memeterai perjanjian awal pada 2013, yang akan merangkumi pembinaan laluan keretapi berkelajuan tinggi sejauh 350 kilometer, yang mampu memendekkan jarak perjalanan antara kedua-dua bandaraya tersebut kepada 90 minit, berbanding empat jam perjalanan menggunakan kereta.